Euforia Bola 2026
Dapur

Wanita Kongsi Resipi Kuih Talam Kelapa Sawit Tanpa Telur, Buat Ramai Imbau Kenangan Nenek & Ibu

buah kelapa sawit

Kuih tradisional sememangnya mempunyai tempat istimewa di hati ramai. Baru-baru ini, satu resipi kuih talam menggunakan buah kelapa sawit tular selepas dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang mengimbau kenangan lama ketika menikmati kuih buatan arwah neneknya.

Baca juga: Wanita Kongsi Resipi Siro Labu Tradisional, Kena Rendam Air Kapur Barulah Isi ‘Dessert’ Cantik Berkilat!

RESIPI KUIH TALAM BUAH KELAPA SAWIT

buah kelapa sawit

Gambar: Faridah Ida

Perkongsian oleh Faridah Ida itu turut menarik perhatian warga maya yang mengakui pernah menikmati kuih berasaskan buah sawit ini suatu ketika dahulu. Malah, ada yang mengatakan kuih ini jarang ditemui pada masa kini walaupun rasanya cukup sedap dan berlemak manis.

Menurut Faridah, dia sudah beberapa kali membuat kuih tersebut minggu ini kerana teringat air tangan arwah neneknya. Menariknya, resipi ini juga tidak menggunakan telur.

“Minggu ini dua kali sudah buat kuih talam daripada buah sawit. Ada sesiapa pernah makan tak? Rindu air tangan arwah nenek, itu yang saya cuba buat sendiri. Resipi ini tak guna telur,” ujarnya.

Berikut perkongsian resipi yang dikongsikan:

Bahan-bahan:

  • Buah kelapa sawit anggaran 1 mangkuk (30 biji)
  • 2 cawan tepung gandum
  • ½ cawan tepung ubi
  • 1½ cawan gula (boleh kurangkan jika tidak mahu terlalu manis)
  • Sedikit garam
  • 5 cawan air

Cara penyediaan:

  1. Rebus buah kelapa sawit sehingga empuk.
  2. Ketika masih suam, asingkan isi daripada bijinya.
  3. Kisar isi sawit bersama 3 cawan air.
  4. Tapis bahan yang telah dikisar.
  5. Gaulkan bahan yang ditapis dengan tepung gandum dan tepung ubi.
  6. Masukkan baki 2 cawan air, kemudian kisar semula dan tapis sekali lagi.
  7. Jika menggunakan loyang, sapukan sedikit minyak dan alas dengan plastik.
  8. Tuang adunan ke dalam loyang dan kukus selama 45 minit atau sehingga masak.

Menurutnya lagi, kuih ini mempunyai rasa lemak manis yang unik, lebih-lebih lagi apabila menggunakan buah sawit yang masak.

Baca juga: Petua Buat Air Gula & Ibu Sirap Kenduri Dulu-Dulu, Buat 1 ‘Step’ Ini Wangi Semerbak & Lebih Sedap!

buah kelapa sawit

Gambar: Faridah Ida

RAMAI KONGSI KENANGAN KUIH TRADISIONAL INI

Di ruangan komen, ramai warga maya turut berkongsi pengalaman mereka pernah menikmati kuih yang sama suatu ketika dahulu, terutama ketika kecil di kampung.

Kebanyakan mereka dapat menikmati kuih talam buah kelapa sawit ini semasa kecil yang dibuat sendiri oleh arwah ibu mereka. Dan benar, menurut mereka kuih talam buah sawit sangat sedap kerana mempunyai rasa lemak-lemak manis dan mengeluarkan bau yang wangi.

Selain itu, ada juga yang mengimbau kenangan ketika jiran meminta buah sawit untuk dijadikan kuih bingka sawit.

“Saya pernah makan tapi dah lama. Pokok kelapa sawit di tepi rumah, orang kampung minta buah katanya nak buat bingka. Mula-mula gelak juga, bila dah siap dia bagi rasa rupanya sedap.

“Tapi orang itu dah tak ada, dah tak boleh makan lagi. Terima kasih tuan empunya resipi, lepas ini balik kampung boleh cuba buat,” ujar seorang pengguna.

Tidak kurang juga yang mengatakan mereka sudah lama tidak menikmati kuih tersebut.

Perkongsian ini secara tidak langsung mengingatkan ramai tentang kuih tradisional yang semakin jarang ditemui, namun masih menyimpan pelbagai kenangan manis buat mereka yang pernah menikmatinya.

Baca juga: Tak Sah Kalau Tak Cuba Resipi Biskut Raya Viral 2026 ‘Nutella Button Cookies’, Guna Sukatan Cawan Dapat 80 Biji!

Sumber: Faridah Ida

FT Image: Faridah Ida

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×