Menerusi perkongsian Dr Fie Tawfek di laman media sosialnya, dia ada menjelaskan mengenai konsep Baby Led Weaning (BLW) untuk memupuk rasa berdikari sejak kecil.
Pendekatan itu dipilih seawal usia anaknya enam bulan untuk dijadikan alternatif kepada kaedah penyusuan pepejal tradisional, di mana bayi diberi peluang untuk makan sendiri sejak awal tanpa perlu disuap.
Baca juga: Ibu Terapkan Gentle Parenting Didik Anak Autistik, Dari Speech Delay Terus Fasih British!
KONSEP BABY LED WEANING JADI TREND, BIAR ANAK MAKAN SENDIRI

Dalam kaedah konvensional, bayi biasanya diberi makanan yang dilenyek atau disuap menggunakan sudu. Sebaliknya, BLW membenarkan bayi mengeksplorasi makanan dengan deria sentuhan dan rasa sekaligus menggalakkan perkembangan motor halus serta koordinasi tangan-mulut.
Selain itu, pendekatan ini juga membantu bayi mengenal tekstur dan rasa makanan asli tanpa tambahan garam, gula atau perasa lain. Ia memberi peluang kepada bayi untuk belajar mengawal selera dan kelaparan mereka sendiri, berbanding dipaksa menghabiskan makanan.
Kelebihan Baby Led Weaning:
1. Menggalakkan tabiat makan sihat sejak kecil
Bayi lebih mudah menerima pelbagai jenis makanan dan tidak terlalu cerewet apabila terbiasa dengan rasa asli makanan dari awal.
2. Meningkatkan kemahiran motor halus
Aktiviti menggenggam, mengunyah dan memegang makanan membantu perkembangan otot tangan serta koordinasi bayi.
3. Membina keyakinan dan berdikari
BLW mengajar bayi membuat pilihan sendiri dan memberi rasa seronok semasa waktu makan, tanpa tekanan untuk ‘menghabiskan makanan’.
4. Mengukuhkan hubungan keluarga
Bayi boleh makan bersama ahli keluarga lain, sekaligus mewujudkan suasana makan yang positif dan menyeronokkan.
Sekiranya ibu ingin memula BLW, antara langkah asas perlu diambil kira adalah pastikan bayi sudah bersedia secara fizikal iaitu boleh duduk tegak dan menunjukkan minat terhadap makanan.
Ibu juga perlu memilih makanan yang lembut, mudah digigit dan tidak mudah tercekik seperti ubi keledek rebus, brokoli kukus, pisang atau telur rebus.

Elakkan makanan yang tinggi garam, gula, madu atau makanan yang boleh menyebabkan tercekik seperti anggur bulat dan kacang.
Walaupun BLW mempunyai banyak kelebihan, tidak semua bayi sesuai dengan pendekatan ini pada peringkat awal. Ibu bapa digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan pediatrik sebelum memulakan, terutamanya jika bayi mempunyai masalah kesihatan atau perkembangan.
Baby Led Weaning bukan lagi sekadar trend, tetapi satu pendekatan yang dapat membantu ibu bapa memupuk tabiat makan sihat dan berdikari sejak usia awal.
Dengan panduan dan pengawasan yang betul, ia boleh menjadi permulaan kepada hubungan yang positif antara anak dan makanan.
Baca juga: Fenomena Baharu Di SJKC, Ramai Murid Melayu Daftar Tapi Pelajar Cina Makin Berkurang
Sumber: Threads & Solid Starts
