Euforia Bola 2026
Sihat

KKM Sahkan Kluster Mpox Baharu Libatkan 4 Sekeluarga, Orang Ramai Disaran Ambil Langkah Pencegahan!

kluster mpox

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad mengesahkan berlakunya satu kluster mpox baharu yang membabitkan empat ahli keluarga, dengan kes indeks merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.

Menurut kenyataan KKM, pesakit tersebut mula mengalami gejala pada 20 Oktober lalu sebelum disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.

Baca juga: Kulit Gatal Lepas Berkebun? Petik Saja Daun Senduduk, Sabun Semula jadi Ini Bantu Hilangkan Miang!

KES BAHARU KLUSTER MPOX DI MALAYSIA

kluster mpox

Gambar Reuters: Vaksin mpox diberi meluas di benua Afrika bagi mengekang penularan wabak.

Susulan itu, siasatan lanjut mendapati tiga ahli keluarga serumah turut menunjukkan gejala bermula 30 Oktober, dan kesemua mereka kemudiannya disahkan positif mpox (Clade II) pada 13 November.

“Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah. Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring, dan diarahkan menjalani pengasingan,” menurut kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan bahawa sehingga minggu epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox telah dilaporkan tahun ini, menjadikan keseluruhan 23 kes direkodkan di Malaysia sejak kes pertama dikesan pada Julai 2023.

Daripada jumlah tersebut, 22 kes melibatkan jangkitan Clade II manakala satu kes adalah Clade Ib.

Kenyataan itu menegaskan bahawa semua kes setakat ini berjaya dibendung hasil pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemeriksaan kontak rapat, serta tiada penularan dalam komuniti dikesan.

Baca juga: Lelaki Kongsi Dapat Petua Dari Orang Tua Guna Buluh Rawat Slip Disc, Terkejut Dah Tak Mengerang Bila Bangun

kluster mpox

Gambar Reuters.

“Memandangkan penularan mpox masih berlaku, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko, KKM menyarankan agar orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan, termasuk mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang bergejala atau disyaki dijangkiti mpox.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala seperti demam, ruam lepuh serta bengkak kelenjar limfa, termasuk menjalani ujian sekiranya diarahkan oleh pegawai perubatan,” ujarnya lagi.

Walaupun status mpox sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) telah ditamatkan pada 5 September lalu, KKM menegaskan pemantauan akan terus dipergiat bagi memastikan kawalan berterusan di dalam dan luar negara.

Mpox, yang disebabkan virus monkeypox daripada genus Orthopoxvirus, lazimnya menunjukkan gejala seperti demam dan ruam atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kawasan kemaluan serta mata.

Penyakit ini boleh menular melalui sentuhan rapat dengan individu dijangkiti, termasuk sentuhan ruam atau lepuh, hubungan seksual, atau permukaan yang tercemar cecair badan pesakit. Kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah berisiko mengalami gejala lebih serius.

Baca juga: 9 Makanan Perlu Elak Jika Selalu Alami Perut Berangin & Gastrik, Wanita Ini Dedah Rahsia

Sumber: Harian Metro

FT Image: karacacennet/Shutterstock.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×