Kebelakangan ini, semakin banyak kit ujian kendiri Influenza ditawarkan di pasaran termasuk melalui platform dalam talian. Walau bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati kerana setakat ini, tiada satu pun kit ujian kendiri Influenza yang diluluskan oleh Medical Device Authority (MDA) untuk digunakan oleh orang awam di Malaysia.
Pihak MDA belum memberikan sebarang kelulusan rasmi terhadap mana-mana produk self-test Influenza, sama ada yang dijual secara fizikal di premis atau dalam talian.
Baca juga: Kajian Dedah Daun Jambu Batu Boleh ‘Lawan’ Virus Influenza A, Bukan Sekadar Tanaman Biasa!
TIADA KIT UJIAN KENDIRI INFLUENZA DILULUSKAN OLEH MDA

Freepik
Oleh itu, sebarang kit yang mendakwa mampu mengesan virus Influenza dengan cepat belum terbukti dari segi keselamatan, kualiti dan ketepatan keputusan. Penggunaan kit tanpa kelulusan boleh menimbulkan risiko salah diagnosis, seterusnya menjejaskan tindakan rawatan yang betul.
Perkara ini turut dikongsikan di laman Facebook milik Public Health Malaysia dan menjelaskan bahawa diagnosis bagi jangkitan Influenza hanya boleh disahkan oleh doktor bertauliah melalui penilaian klinikal yang menyeluruh dan ujian makmal yang diiktiraf.
Penilaian ini merangkumi semakan terhadap gejala pesakit, sejarah kesihatan, tahap keterukan jangkitan serta keperluan untuk rawatan antiviral atau rujukan lanjut ke hospital.
Individu tidak boleh mengesahkan dirinya dijangkiti Influenza hanya berdasarkan keputusan daripada kit yang dibeli dalam talian seperti di Shopee atau platform lain. Ini kerana ujian kendiri semata-mata tidak mencukupi bagi menentukan sama ada seseorang benar-benar dijangkiti virus tersebut.

Freepik
Tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh doktor, rawatan yang diberikan berisiko tersilap atau tertangguh. Dalam keadaan tertentu, kelewatan rawatan boleh meningkatkan komplikasi terutama bagi kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak kecil, ibu mengandung dan individu yang mempunyai penyakit kronik.
Masyarakat disarankan untuk tidak bergantung kepada kit yang belum diluluskan dan sebaliknya mendapatkan nasihat serta pemeriksaan di klinik atau hospital berdaftar sekiranya mengalami simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, keletihan melampau atau sakit badan yang kuat.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan rawatan diberikan dengan tepat, malah membantu mengelakkan penularan penyakit dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: Influenza A Digelar ‘Demam Mahal’, Ibu Luah Bila Anak Kena Jangkit…Dompet Pun Sakit!
Sumber: Facebook
