Hari perkahwinan sepatutnya menjadi detik paling indah dalam hidup setiap pasangan. Namun bagi seorang pengantin wanita ini, majlis yang dinanti bertukar menjadi pengalaman mencemaskan apabila dia terpaksa tutup mata sepanjang majlis akibat kesakitan yang tidak tertanggung.
Kisah yang tular di media sosial ini menyentuh hati ramai apabila melihat pengantin perempuan terpaksa dibimbing oleh suami dan ahli keluarga kerana tidak mampu membuka mata langsung.
WANITA TERPAKSA TUTUP MATA SEPANJANG MAJLIS BERSANDING BERI PENJELASAN SEBENAR

Gambar Threads @abang_crime
Situasi tersebut membuatkan ramai menyangka ia berpunca daripada pemakaian makeup tebal atau kanta lekap (contact lens), namun hakikatnya punca sebenar adalah sesuatu yang tidak disangka.
Disebabkan itu, pemilik Threads @abang_crime yang juga pihak saudara-mara mempelai pergi bertemu sendiri pasangan Muhammad Aliff Aiman dan isterinya, Umi Kalsom Shafiqah Zainuddin untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Menurut Muhammad Aliff, gangguan pada mata isterinya bermula lebih awal, iaitu pada petang hari akad nikah. Pada mulanya, isterinya menyangka ia hanya ketidakselesaan biasa, namun rasa pedih semakin kuat dari semasa ke semasa.
“Saya sudah buka contact lens dan boleh rasa ini bukan sekadar rabun… Menjelang pukul 6 petang, nampak ada biji kecil dan bila kelip mata rasa menyengat,” kata Umi Kalsom.
Muhammad Aliff turut menegaskan bahawa masalah tersebut bukan berpunca daripada pemakaian kanta lekap yang tidak berkualiti.
Difahamkan, isterinya itu sudah terbiasa memakai lens dan jenama yang digunakan adalah berkualiti tinggi.
Tetap kuat demi tetamu walaupun terpaksa tutup mata
Walaupun sudah mendapatkan rawatan awal di klinik, keadaan tidak menunjukkan perubahan ketara pada hari persandingan.
Umi Kalsom masih tidak mampu membuka mata pada pagi majlis, namun tetap menggagahkan diri untuk meneruskan acara demi menghormati tetamu yang hadir.
Ketika sesi makan beradab, kesakitan yang dialami semakin memuncak sehingga dia tidak mampu menahan air mata. Situasi ini memaksa pasangan tersebut membuat keputusan segera untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
Baca juga: Tiba-Tiba Kena Jangkitan Mata, Pengantin Terpaksa Pejam Sepanjang Majlis Bersanding!

Gambar Threads @abang_crime
Doktor kesan luka pada anak mata
Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati terdapat luka kecil pada bahagian anak mata hitam Umi Kalsom. Keadaan ini menyebabkan kesakitan yang teruk sehingga dia terpaksa tutup mata hampir sepanjang masa.
Difahamkan, selepas diberikan ubat bius (kebas) oleh jururawat, barulah matanya dapat dibuka semula. Namun dia perlu menitiskan ubat mata setiap jam bagi membantu proses penyembuhan.
Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada penggunaan glitter di kawasan mata, yang mungkin masuk ke dalam mata dan menyebabkan kecederaan kecil pada permukaan kornea.
Ujian di hari bahagia, namun tetap reda dan bersyukur
Walaupun majlis tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang, pasangan ini menerima ujian tersebut dengan penuh kesabaran. Mereka juga bersyukur kerana sempat mendapatkan rawatan segera dan menerima sokongan moral daripada keluarga serta orang ramai.
Kisah ini menjadi peringatan kepada bakal pengantin dan individu yang gemar menggunakan produk kosmetik, terutama di kawasan mata, supaya lebih berhati-hati dan memastikan keselamatan diri sentiasa diutamakan.
Kadangkala, perkara kecil seperti sebutir glitter boleh membawa kesan besar jika tidak dikendalikan dengan betul. Namun di sebalik ujian yang berlaku, sikap tabah dan sokongan pasangan menjadi kekuatan utama untuk melalui detik mencabar tersebut.
Sumber: Threads @abang_crime
FT Image: Threads @abang_crime
