Kerajaan dijangka mula melaksanakan pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing sekitar Jun atau Julai tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, pelaksanaan tersebut adalah sebahagian daripada perancangan susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu kewarganegaraan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun lalu.
Baca juga: Budak Lelaki 10 Tahun Ditemui Menggigil Ketakutan & Cedera Pada Beberapa Anggota Badan
KEWARGANEGARAAN AUTOMATIK ANAK LAHIR LUAR NEGARA BERMULA JUN ATAU JULAI

Menurut beliau, proses pelaksanaan mengambil masa berikutan keperluan meneliti dan meminda Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dalam dua bahasa rasmi, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sebelum dimuktamadkan.
“Dokumen perundangan berkenaan telah melalui semakan Jabatan Peguam Negara. Selepas itu, kementerian perlu menyediakan borang dan garis panduan baharu, selain memaklumkan pelaksanaan ini kepada perwakilan Malaysia di luar negara sebelum ia dikuatkuasakan secara rasmi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Saifuddin Nasution menyifatkan pelaksanaan pindaan ini sebagai satu langkah penting Kerajaan MADANI dalam memperbetulkan ketidaksamarataan yang selama ini dihadapi oleh ibu warganegara Malaysia, khususnya dalam usaha mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa proses menilai dan membuat keputusan terhadap permohonan kewarganegaraan tidak pernah dihentikan walaupun pindaan Perlembagaan sedang dilaksanakan.

Freepik
Bagi tahun 2025, beliau meletakkan sasaran untuk memuktamadkan 20,000 permohonan kewarganegaraan dan sehingga kini jumlah keputusan yang dibuat telah melebihi sasaran tersebut.
Sehingga laporan terkini diterima, sebanyak 20,032 permohonan telah diputuskan, melepasi sasaran yang ditetapkan.
Beliau turut memaklumkan jumlah permohonan tertunggak yang sebelum ini mencecah hampir 50,000 kini berjaya dikurangkan kepada kurang daripada 4,000 kes.
Menurutnya, kementerian optimis semua permohonan lama yang tertangguh, termasuk yang berusia lebih satu dekad, dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Sasaran kami adalah untuk menyelesaikan baki permohonan lama ini selewat-lewatnya suku pertama tahun ini, sebelum membuka fasa baharu pelaksanaan pindaan Perlembagaan berkaitan kelahiran di luar negara,” katanya.
Baca juga: Seawal Usia 7 Tahun Dah Ada Payudara & Bulu Ketiak.. Doktor Sahkan Anak Alami Akil Baligh Pramatang!
Sumber: Harian Metro
