Perkongsian seorang pengguna Threads, Ridhwah, mencetuskan perbualan hangat di media sosial selepas dia memuat naik gambar memaparkan kesan gincu pada dinding sebuah masjid di Kuala Lumpur.
Dalam hantaran tersebut, dia meluahkan rasa kurang senang dan pada masa sama tertanya-tanya mengenai tindakan segelintir individu yang meninggalkan kesan solekan di kawasan rumah ibadah.
DINDING MASJID DIPENUHI KESAN GINCU, CETUS TANDA TANYA

“Ikhlas nak tanya. Ini dekat sebuah masjid kat KL. Sebelum solat nak remove lipstick tu kena cium dinding ke macamana? Selekeh betul,” tulisnya menerusi perkongsian tersebut.
Perkongsian itu segera menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang turut memberikan pelbagai reaksi terhadap situasi berkenaan. Ada yang meluahkan rasa kesal kerana perkara seperti itu masih berlaku di ruang ibadah yang sepatutnya dijaga kebersihan dan adabnya.
Rata-rata warganet turut bersetuju bahawa isu seperti kesan gincu, maskara dan bedak pada dinding atau kemudahan surau bukanlah perkara baharu, malah sering berlaku di beberapa lokasi awam.

“Sadly benda Ini jadi DEkat banyak surau public. Lipstik la, mascara la, foundation la.. pelik betul, korang ni makeup muka ke makeup dinding surau,” komen pengguna media sosial.
Isu ini secara tidak langsung membuka perbincangan lebih luas mengenai tahap kesedaran kebersihan dan adab di tempat ibadah, khususnya dalam kalangan pengunjung wanita yang menggunakan ruang solat awam.
Walaupun mungkin berlaku tanpa sengaja, ramai berpendapat aspek menjaga kebersihan masjid dan surau perlu diberi perhatian bersama agar keselesaan semua jemaah tidak terjejas.
Perkongsian ini juga menjadi peringatan bahawa rumah ibadah bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi ruang yang perlu dipelihara dengan penuh adab, kebersihan dan rasa hormat.
Baca juga: Masjid Seksyen 7 Shah Alam Perkenal Mesin UV Canggih! Boleh Cuci Kopiah, Songkok & Helmet ‘Masham’
Sumber: Threads Ridhwah
