Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap semua murid yang terlibat dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka dengan membuang mereka serta-merta daripada institusi tersebut.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad, berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pada Isnin di Putrajaya.
KES SALAH LAKU SEKSUAL MELAKA: 4 PELAJAR SEKOLAH DIBUANG SERTA MERTA!

Foto: AWANI
“Lembaga Tatatertib Sekolah telah memutuskan untuk membuang sekolah semua murid yang terlibat dalam kes ini,” jelas beliau dalam sidang media khas.
Menurut laporan AWANI, walau bagaimanapun, Mohd Azam menegaskan bahawa kesemua pelajar tersebut masih dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun pelaksanaannya akan dijalankan di lokasi khas sama ada di pusat tahanan atau tempat berasingan daripada pusat peperiksaan asal.
“Pada waktu ini, semua murid yang menjadi suspek telah ditahan reman polis. Kebenaran untuk mereka mengambil peperiksaan SPM tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan undang-undang. Proses kehakiman tetap berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa hak pelajar sebagai calon peperiksaan tetap dipelihara walaupun mereka sedang berdepan siasatan kes jenayah.
“Mereka tidak akan menduduki peperiksaan di sekolah masing-masing, tetapi di lokasi yang telah ditetapkan sama ada di pusat tahanan atau tempat khas lain,” jelas Mohd Azam lagi.
Langkah tegas ini, menurut beliau, menunjukkan komitmen KPM dalam memastikan keselamatan dan integriti persekitaran sekolah terus terjamin, selain menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa salah laku serius tidak akan dikompromi.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa keputusan memberi kebenaran menduduki SPM tersebut dibuat bagi memastikan hak pendidikan pelajar berkenaan tidak dinafikan meskipun mereka kini dalam siasatan pihak polis.
Baca juga: Permohonan Pengawas Peperiksaan SPM 2025 Kini Dibuka, Bukan Cikgu Pun Boleh Mohon & Dapat Elaun!
Sumber: AWANI
