Selangor mencatatkan sebanyak 10,815 kes perceraian pasangan Islam dari Januari hingga September tahun ini, dengan masalah kewangan dan komunikasi dikenal pasti sebagai antara punca utama.
Menurut Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain, sebahagian besar daripada jumlah itu melibatkan 6,827 kes lafaz cerai di hadapan hakim di Mahkamah Syariah, manakala 3,445 kes lagi membabitkan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang kemudian disahkan hakim.
LEBIH 10,000 KES PERCERAIAN PASANGAN ISLAM DI SELANGOR

Freepik
Selain itu, sebanyak 470 permohonan fasakh, 47 taklik dan 26 kes khuluk turut diterima dalam tempoh sama.
“Ada suami yang menganggap apabila isteri turut bekerja, tanggungjawab memberi nafkah boleh dikurangkan atau dilepaskan. Dari situ, timbul rasa tidak puas hati yang berpanjangan dan akhirnya membawa kepada perceraian,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, bukan sahaja pasangan muda yang mudah terlerai ikatan perkahwinan, bahkan ada juga yang telah hidup bersama selama lebih 30 tahun akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah.
Beliau berkata demikian semasa sesi lawatan rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) ke ibu pejabat Balai Berita hari ini. Lawatan itu turut disertai pegawai kanan Mahkamah Syariah Selangor serta diiringi oleh Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, M Thillinadan dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Masalah komunikasi antara suami isteri turut dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada keretakan rumah tangga.
“Ada pasangan yang tinggal serumah tetapi tidak lagi berkomunikasi — suami di tingkat atas, isteri di bawah, masing-masing diam tanpa sebarang interaksi,” katanya.

Justeru, beliau menasihati mana-mana pasangan yang sedang menghadapi masalah rumah tangga supaya tidak tergesa-gesa memfailkan penceraian.
Sebaliknya, mereka disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu daripada kaunselor bertauliah, pegawai agama atau imam kawasan.
“Walaupun tiada kewajipan untuk berbuat demikian sebelum ke mahkamah, pandangan dan nasihat daripada pihak ketiga yang lebih berpengalaman kadang-kala mampu menjadi jalan tengah yang baik,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan agar perbincangan secara matang antara pasangan atau melalui wakil keluarga dijadikan langkah awal sebelum mengambil keputusan yang besar seperti penceraian.
Baca juga: Isteri Pakai Susuk Di Kening & Kemaluan Demi ‘Ikat’ Suami, Menyesal Walau Setia Hingga Mati!
Sumber: Berita Harian
