Misteri kes orang hilang yang melibatkan seorang remaja ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands akhirnya terungkai selepas mayatnya ditemui di kawasan semak di Kampung Bukit Jeruk, Besut, petang semalam.
Remaja berkenaan, Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19 tahun, yang mesra dipanggil Along sebelum ini dilaporkan hilang ketika sedang dalam perjalanan bersama keluarganya ke tempat percutian tersebut.
Baca juga: Gadis 14 Tahun Hilang 4 Hari, Ditemui Bersama ‘Teman Lelaki’ Usia 47 Kenal Dalam Online Game!
Kes Orang Hilang Libatkan Remaja Dalam Perjalanan Ke Cameron Highlands Terjawab

Foto: Berita Harian
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Rozaime Ab Rahim, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat remaja itu sekitar jam 6.40 petang (8 Mac).
Beliau berkata, seorang penduduk yang melalui kawasan tersebut untuk mencari lembu peliharaannya telah terhidu bau yang kuat dari kawasan semak berhampiran sebelum membuat pemeriksaan.
“Apabila dia menghampiri kawasan itu, dia ternampak jasad seorang lelaki bersama motosikal yang dipercayai ditunggang mangsa berada di dalam semak,” katanya ketika dihubungi.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan lanjut sebelum mengesahkan penemuan mayat tersebut.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Terdahulu, media melaporkan rancangan percutian tujuh beranak ke Cameron Highlands pada Khamis lalu bertukar cemas apabila Ahmad Azreeq dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke lokasi tersebut.
Keluarga mangsa difahamkan bergerak menggunakan dua kenderaan, dengan enam ahli keluarga menaiki kereta Proton Persona, manakala mangsa menunggang motosikal Yamaha R15.
Siasatan polis turut mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Benting Lintang berjaya mengesan kelibat individu dipercayai mangsa sekitar jam 1.38 pagi pada Jumaat lalu.
Mangsa gagal dikesan sejak kali terakhir dikesan di stesen minyak berkenaan sehinggalah jasadnya ditemui oleh orang awam pada petang tadi. Salam takziah diucapkan…

Foto: BERNAMA
Sumber: Berita Harian
FT Image: Berita Harian dan Bernama
