Masih belum reda dan temui jawapan kepada kes arwah adik Zara Qairina, Malaysia dikejutkan lagi dengan kes seorang pelatih PALAPES yang meninggal dunia ketika menjalani latihan pada 28 Julai lalu.
Hati seorang ibu tidak pernah tenang sejak pemergian anak sulungnya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, yang menuntut keadilan dan mencari jawapan yang masih pudar…
Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?
KES PELATIH PALAPES MAUT KETIKA LATIHAN, IBU SEDIA KUBUR ANAK DIGALI SEMULA

Ummu Haiman menunjukkan gambar arwah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin. Foto Fail NSTP
Ibu yang bernama Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun, tekad untuk mencari jawapan sebenar di sebalik kematian anaknya. Beliau memohon agar bedah siasat kedua dijalankan dan sanggup kubur anaknya digali semula demi merungkai punca kematian yang disifatkan penuh tanda tanya.
Permohonan rasmi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil, tanpa melindungi mana-mana pihak.
BADAN ADA KESAN LEBAM, LUKA SEPERTI KENA TEMBAKAN

Foto: MalaysiaKini
Malah, beliau menolak dakwaan bahawa anaknya meninggal dunia akibat sawan, seperti dimaklumkan sebelum ini, kerana mendakwa terdapat kesan lebam teruk, pendarahan dari hidung dan mata, serta luka yang menyerupai kesan tembakan dan kecederaan itu kelihatan tidak selari dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.
“Saya mohon bedah siasat kedua dilaksanakan segera. Siasatan mesti telus, tanpa melindungi sesiapa..” kata ibu.
“Saya juga mahu wakil peguam keluarga dilantik sebagai ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan seorang pelatih PALAPES UTM meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA). Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
*Semoga kes ini turut mendapat perhatian dan dapat diselesaikan dengan cepat. #JusticeForHaris
Baca juga: Ini Sebab Jarang Mimpi Mak Ayah Yang Sudah Meninggal, Bila Tahu Undang Sebak…
Sumber: Buletin TV3, MalaysiaKini
