Perkembangan terkini kes hina al-Quran. Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Selasa atas dua pertuduhan berkaitan mencemar kitab suci dan menghantar komunikasi jelik melampau di media sosial.
Tertuduh, K. Vikneswaran, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Baca juga: Ramai Baru Tahu, Rupanya Boleh Qada Solat Semasa Tarawih Walaupun Niat Tak Sama Dengan Imam
KES HINA AL-QURAN: PENUNTUT IPTA MENGAKU TAK BERSALAH

Gambar hiasan: BERNAMA
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa telah mencemarkan satu kitab suci yang dipegang oleh penganut agama Islam, iaitu sebuah al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua melibatkan komunikasi jelik
Berdasarkan pertuduhan kedua, penuntut tahun akhir Fakulti Komputer itu didakwa melalui aplikasi Threads menggunakan akaun ‘Ryandaselva’ secara sedar membuat dan menghantar komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Hukuman diperuntukkan ialah denda tidak melebihi RM500,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang, kira-kira jam 1.30 petang pada 22 Februari lalu.

Gambar Sinar Harian: Suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi.
Mahkamah benarkan jaminan RM10,000
Dalam prosiding tersebut, Pengarah Pendakwaan Pahang, Sharizat Ismail menawarkan ikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana kesalahan yang dilakukan dianggap serius dan boleh mengundang kegusaran orang awam.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Amirul Afiaq Mohamad Lokman memohon pengurangan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya masih ditanggung bapa yang bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.
Dalam hujahannya, beliau menyatakan,
“Tertuduh tidak mempunyai niat untuk melarikan diri kerana ayahnya sendiri yang membuat laporan polis.
“Sepanjang tempoh reman, mereka sentiasa memberikan kerjasama dan tertuduh juga pernah dirujuk ke sebuah klinik ketika masih bersekolah tingkatan tiga kerana mengalami gangguan psikologi,” hujahnya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap awal bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 April depan.
Sebelum prosiding bermula, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.05 pagi dengan kawalan ketat anggota polis. Memakai kemeja-T merah berlengan putih, dia dilihat hanya menundukkan wajah bagi mengelak lensa kamera pengamal media.
Terdahulu, pada 25 Februari lalu, seorang pelajar dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.
Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!
Sumber: Sinar Harian / BERNAMA
