Baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu kes buli di Terengganu yang mendakwa seorang murid perempuan mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang murid lelaki di sebuah sekolah.
Menerusi laporan media tempatan, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan bahawa kes buli di Terengganu itu sebenarnya berpunca daripada kes salah faham.
Baca juga: Ibu Berang Anak Perempuan Dah Setahun Jadi Mangsa Buli Murid Lelaki, Siap Tendang & Hantuk Kepala!
KES BULI DI TERENGGANU, MURID PEREMPUAN CEDERA KERANA SALAH FAHAM

JPNT menegaskan bahawa insiden berkenaan bukanlah kes buli seperti yang didakwa dan hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada salah faham antara dua murid tanpa sebarang unsur buli.
Menurut kenyataan itu, pengesahan diperoleh daripada Pegawai Perhubungan Sekolah, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Buli dan Salah Laku. Pihak sekolah juga telah melawat murid yang terlibat semasa mendapatkan rawatan di hospital dan sesi pemuafakatan antara ibu bapa kedua-dua murid sedang diatur serta akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” jelasnya.
JPNT turut memberi jaminan bahawa isu terbabit akan diselesaikan secara harmoni dan berhemah demi kesejahteraan semua pihak termasuk murid, ibu bapa serta pihak sekolah.
“JPNT juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku lain dan akan mengambil tindakan tegas demi menjamin persekitaran sekolah yang selamat,” tambahnya.
Pada Jumaat lepas, sebuah hantaran di Instagram oleh ibu bapa kepada seorang murid perempuan telah tular apabila mereka mendakwa anaknya cedera selepas dipukul oleh seorang murid lelaki sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat lebih 15,000 tanda suka dan ratusan komen, selain turut disebarkan di pelbagai platform media sosial lain, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi daripada warganet.
Baca juga: Abang Usia 11 Tahun Tawan Hati Netizen, Buat 300 Gaya Rambut Kreatif & Comel Dekat Adik Perempuan
Sumber: Sinar Bestari
