Kecuaian perubatan serius membawa padah apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan seorang doktor dan pemilik sebuah rumah bersalin swasta membayar pampasan berjumlah RM4.1 juta. Pampasan itu diberikan kepada seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang mengalami kerosakan otak teruk sejak dilahirkan.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati wujud kecuaian dalam pengurusan proses kelahiran yang menyebabkan mangsa mengalami komplikasi kesihatan seumur hidup
Baca juga: TERKINI! Ini 7 Intipati Penting Dari Kenyataan Rasmi Peguam Keluarga Arwah Zara Qairina
REMAJA TERIMA RM4.1 JUTA AKIBAT KECUAIAN PERUBATAN

Gambar hiasan AI
Hakim Nurulhuda Nuraini Nor memberikan pampasan sebanyak RM600,000 sebagai ganti rugi am dan tambahan RM3.5 juta untuk keperluan pemulihan masa depan remaja terbabit. Ibu remaja tersebut turut menerima ganti rugi berjumlah RM80,000 atas tekanan emosi dan keresahan yang dialami.
Kelahiran bermasalah itu berlaku di sebuah rumah bersalin di Johor Bahru pada 28 September 2009, apabila ibu remaja berkenaan hadir ke klinik kira-kira jam 10 pagi dan dinasihatkan menjalani pembedahan caesarean selepas doktor mendapati tali pusat melilit leher bayi.
Namun, pembedahan hanya dilakukan hampir sembilan jam kemudian iaitu sekitar jam 7 malam, yang menyebabkan komplikasi kesihatan serius kepada bayi yang dilahirkan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah pada 1 Oktober setelah menunjukkan tanda-tanda seperti sukar menyusu, bernafas dan tidak bermaya.
Dia disahkan mengalami hipoglisemia teruk serta jangkitan, sebelum dipindahkan ke beberapa hospital lain untuk rawatan lanjut, termasuk Hospital Kuala Lumpur, di mana kerosakan otak disahkan oleh pakar neurologi kanak-kanak.
Baca juga: Ini Senarai Sekolah Pemulihan Akhlak Di Malaysia, Tak Semua Yang Masuk Juvana Terus Ke Penjara
Pengabaian tanggungjawab oleh doktor terbabit menjadi faktor utama dalam penghakiman bertulis oleh hakim, yang menyatakan bahawa kelewatan menjalankan pembedahan telah memberi kesan langsung terhadap keadaan kesihatan bayi.
Pemilik rumah bersalin turut dipertanggungjawabkan secara wakil kerana klinik itu berada di bawah kelolaannya.
Ibunya telah memfailkan saman pada tahun 2020 bagi pihak anaknya yang kini mengalami masalah kesihatan kekal dan bergantung sepenuhnya kepada penjagaan.
Mahkamah turut mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM100,000. Bagaimanapun, doktor dan pemilik rumah bersalin tersebut telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Kes ini dikendalikan oleh barisan peguam plaintif, iaitu R Jayabalan, N Jegatheesan, Christopher Tan dan S Shamilan. Sementara itu, peguam B Thinesh dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili pihak defendan.
Baca juga: Kanak-Kanak Usia 5 Tahun Bakal Diwajibkan Mula Prasekolah, PM Anwar Umum Menerusi RMK13!
Sumber: Buletin tv3
FT Image: AI
