Kerjaya yang memerlukan seseorang berhadapan dengan haiwan bukanlah mudah dan menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang. Namun, bagi mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan, tugas sebagai renjer pasti memberi kepuasan tersendiri.
Sirap Limau dalam segmen Macam Mana berkesempatan merakam kehidupan dan kerjaya renjer di Farm In The City, Seri Kembangan. Di sini, dua individu yang berbeza latar belakang berkongsi pengalaman mereka dalam bidang ini.
Minat Mengatasi Cabaran

Hanisah (kiri) dan Iskandar (kanan)
Bagi Noor Hanisah dan Iskandar, mereka lebih selesa bekerja di samping haiwan kerana minat yang mendalam. Hanisah, selaku Penyelia Operasi, sudah tiga tahun berkhidmat di Farm In The City. Sejak kecil, beliau sudah menunjukkan minat terhadap haiwan, malah ketika melanjutkan pelajaran, beliau mengambil jurusan Perhutanan dengan pengkhususan dalam bidang Hidupan Liar. Minat itu dibawa sehingga kini, di mana beliau lebih gemar bergelumang dengan haiwan.
Iskandar pula, sudah tiga tahun bekerja sebagai renjer. Berbeza dengan latar belakang sebelumnya dalam bidang pemasaran, beliau membuat keputusan beralih kerjaya kerana kecintaannya terhadap haiwan eksotik seperti giant tortoise dan ular berbisa.
Tanggungjawab Sebagai Renjer

Tugasan sebagai renjer bermula seawal pagi dengan pemeriksaan harian untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan haiwan. Jika terdapat haiwan yang tidak sihat, mereka perlu dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai. Iskandar menjelaskan bahawa beliau banyak mempelajari selok-belok penjagaan haiwan daripada rakan-rakan renjer senior yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.
Bagi Hanisah pula, tugasnya bukan sahaja memastikan haiwan berada dalam keadaan sihat tetapi juga berkomunikasi dengan renjer lain untuk menyelaraskan penjagaan haiwan. Iskandar menambah bahawa membina hubungan baik dengan haiwan dan penjaga mereka adalah penting kerana haiwan juga mempunyai perasaan seperti manusia.
Baca juga: 4 Resepi Minuman Paling Sedap Untuk Hari Raya, Confirm Tetamu Suka!
Cabaran Bekerja Dengan Haiwan
Hanisah menghadapi cabaran utama dalam berurusan dengan pelanggan, terutama mereka yang ingin memegang haiwan yang sedang mengalami tekanan (stress). Selain itu, mengendalikan haiwan yang bersikap agresif memerlukan kemahiran. Mereka harus bijak dalam menenangkan haiwan serta mengurangkan risiko kecederaan akibat serangan haiwan.
Bagi Iskandar, memastikan haiwan sentiasa sihat adalah cabaran terbesar. Ada kalanya, mereka perlu berjaga malam demi memastikan haiwan dalam keadaan baik dan menerima penjagaan yang sewajarnya.
Tonton video penuh di Youtube Sirap Limau
