Kerepek peria mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah orang, namun perkongsian seorang wanita di Facebook membuktikan sayur pahit ini boleh bertukar menjadi kudapan rangup yang digemari ramai, termasuk kanak-kanak yang biasanya tidak makan peria.
Menurut Azizah Ishak, idea menghasilkan kerepek peria bermula secara tidak sengaja apabila dia menerima sedekah dua biji peria. Bagi mengisi masa lapang selepas bersara, dia mencuba membuat kerepek untuk dimakan sendiri, sebelum disarankan rakan-rakan supaya menjualnya.
Baca juga: Wanita Kongsi Resipi Ikan Bawal Masak Kicap ‘Chinese Style’, Tak Sangka Sedap Sampai Tergamam!
RESIPI KEREPEK PERIA LAKU KERAS!

Gambar: Azizah Ishak
Tidak disangka, kerepek peria yang dihasilkan mendapat sambutan baik. Malah, ramai memuji rasanya yang rangup dan langsung tidak pahit, seakan-akan keropok biasa. Anak cucu juga turut menggemarinya walaupun sebelum ini tidak menyukai sayur peria.
Azizah berkongsi bahawa dia menggunakan peria biasa dan setia dengan jenis tersebut kerana pelanggan sudah serasi dengan rasanya. Berikut dikongsikan resipi lengkap bagi sesiapa yang ingin mencuba sendiri di rumah.
Bahan-bahan:
- Peria biasa (dipilih yang gemuk)
- Tepung Bestari – 1kg
- Tepung beras – ½ kg
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng

Gambar: Azizah Ishak
Cara penyediaan:
- Peria dibelah dua kerana saiznya yang gemuk, kemudian disagat nipis.
- Tidak perlu membasuh peria. Jika peria mengandungi banyak air, perah sedikit dan buang airnya.
- Campurkan tepung Bestari dan tepung beras, kemudian gaul sebati.
- Masukkan peria yang telah disagat ke dalam campuran tepung dan gaul rata.
- Ayak bagi membuang lebihan tepung supaya kerepek tidak melekat.
- Goreng dalam minyak panas sehingga rangup dan keemasan.
- Angkat, toskan dan biarkan sejuk sebelum ditimbang atau disimpan.
Tip tambahan!
- Berat anggaran selepas digoreng ialah ±245 gram bagi setiap pek.
- Kerepek boleh disimpan dalam bekas kedap udara bagi mengekalkan kerangupan.
- Sesuai dijadikan kudapan atau idea jualan sambilan dari rumah.
Perkongsian resipi ini nyata memberi inspirasi, khususnya kepada golongan suri rumah dan pesara yang ingin menjana pendapatan kecil-kecilan dengan memanfaatkan bahan dapur yang mudah diperoleh.
Baca juga: Rahsia Perut Air Asam Jadi Lembut & Tak Hanyir, Kuah Pedas Masamnya Buat Tambah Nasi!
Sumber: Azizah Ishak
FT Image: Azizah Ishak
