Euforia Bola 2026
Kini Trending

Kerajaan Cadang Had Umur 16 Tahun Untuk Akaun Media Sosial Demi Lindungi Anak Daripada Bahaya Maya

Dalam dunia sekarang yang serba digital, kanak-kanak dan remaja semakin terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian, termasuk buli siber, pemerasan, sehinggalah eksploitasi seksual.

Atas keprihatinan ini, kerajaan sedang mencadangkan had umur minimum 16 tahun untuk memiliki akaun media sosial, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan psikologi golongan muda terus terpelihara.

Perlindungan Maksimum Untuk Kanak-Kanak & Remaja

Langkah menetapkan had umur ini bertujuan memberi perlindungan maksimum terhadap kanak-kanak dan remaja daripada bahaya dunia maya seperti:

  • Kandungan seksual tidak sesuai usia
  • Pemerasan dan grooming dalam talian
  • Buli siber dan tekanan sosial
  • Eksploitasi seksual serta penyebaran imej tanpa kebenaran

Kajian UNICEF (Disrupting Harm Malaysia, 2023) mendapati, 4% daripada pengguna internet berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian, termasuk diperas atau dipaksa berkongsi imej tidak senonoh.

Manakala kajian daripada PMC (2022) menunjukkan, 3 daripada 10 remaja pernah menjadi mangsa buli siber, kebanyakannya melalui media sosial.

Masalah Ini Semakin Serius Di Malaysia

Realitinya, isu keselamatan digital ini semakin membimbangkan.

  • 74.5% pelajar pernah terdedah kepada kandungan pornografi (PMC, 2021)
  • Kajian Atlantis Press (2023) pula menunjukkan aktiviti grooming dalam kalangan remaja semakin meningkat
  • Beberapa kes rogol berkumpulan (gang rape) melibatkan pelajar sekolah di Melaka dan Kedah turut mengaitkan elemen digital  (rakaman video dan penyebaran bahan lucah yang tersebar dalam talian)

Kes-kes ini menjadi bukti bahawa bahaya tidak hanya berlaku dalam alam maya, tetapi turut terjadi di dunia nyata.

Interaksi di media sosial tanpa kawalan jelas membuka ruang kepada risiko sebenar, terutama bagi mereka yang masih terlalu muda untuk menilai bahaya.

Prof Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, Pakar Psikologi Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menyatakan bahawa keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada dasar sukarela.

“Keselamatan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada langkah sukarela.

Peraturan mandatori menetapkan standard yang jelas,” katanya.

Beliau menyarankan agar akaun untuk remaja berusia 13 hingga 15 tahun dibenarkan dengan kebenaran ibu bapa, tertakluk kepada kawalan dan tetapan keselamatan yang ketat, manakala kanak-kanak bawah 13 tahun perlu dilarang sepenuhnya daripada memiliki akaun media sosial.

Dr. Fauziah turut menekankan bahawa pendidikan digital perlu diperkasa, manakala platform digital mesti bertanggungjawab dan patuh pada undang-undang tempatan.

“Dasar ini menandakan perubahan serius, platform tidak lagi boleh ‘mengawal selia sendiri’ tanpa tanggungjawab.

Mereka mesti melindungi pengguna muda, bersikap telus dan patuh kepada undang-undang negara,” ujarnya.

Kenapa Had Umur 16 Tahun?

Kerajaan menegaskan bahawa usia 16 tahun dianggap titik paling wajar, kerana pada tahap ini, kebanyakan remaja sudah mempunyai kematangan mental dan emosi yang lebih stabil untuk memahami batas keselamatan digital.

Langkah ini juga memberi ruang kepada ibu bapa dan guru untuk menanam asas literasi media serta membimbing anak-anak tentang etika dan keselamatan di alam siber sebelum mereka benar-benar bebas menggunakan media sosial.

Selain itu, pendekatan ini dijangka:

  • Mengurangkan risiko penyalahgunaan dokumen atau penipuan umur
  • Memberi masa untuk pihak sekolah memperkukuh pendidikan keselamatan digital
  • Memastikan platform media sosial lebih bertanggungjawab dalam menapis kandungan dan mengenal pasti umur pengguna sebenar

Tidak Lari Dari Cabaran

Walaupun niatnya baik, cadangan ini turut menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan termasuklah:

  • Had umur mungkin mengehadkan kebebasan bersuara dan akses maklumat bagi remaja
  • Kemungkinan remaja menggunakan akaun orang dewasa untuk ‘memintas’ sistem
  • Isu privasi dan keselamatan data, yang mesti mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)

Namun, pihak kerajaan menjelaskan bahawa langkah ini tidak bermaksud menafikan suara remaja, sebaliknya sebagai perlindungan awal sebelum mereka benar-benar bersedia berdepan dunia digital yang penuh risiko.

Langkah Perlindungan Yang Wajar

Dalam era di mana telefon pintar menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, menetapkan had umur 16 tahun untuk akaun media sosial bukan sekadar peraturan, tetapi langkah pencegahan yang boleh menyelamatkan anak-anak kita daripada trauma dan bahaya dunia siber.

Dengan kerjasama ibu bapa, guru, dan platform digital, usaha ini mampu melahirkan generasi muda yang celik digital, beretika dan lebih berdaya tahan terhadap pengaruh negatif media sosial.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×