Satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok bernama @yanarahman1231 tular di media sosial selepas merakam detik cemas seekor kera liar menceroboh masuk ke dalam sebuah rumah.
Menerusi video tersebut, kelihatan kera berkenaan memasuki rumah dan cuba mengangkat seorang bayi yang sedang berada di ruang tamu, sebelum dihalau oleh ahli keluarga.
Baca juga: Bella Astilah Sambut Hari Lahir Anak, Syed Saddiq Jadi ‘Superman’ Meriahkan Suasana!
KERA LIAR MASUK RUMAH, NAK ‘CULIK’ BABY DI RUANG TAMU

Kera liar itu dipercayai memasuki kawasan rumah melalui pagar hadapan, sebelum menyelinap masuk ke dalam rumah melalui pintu kaca sliding yang tidak ditutup rapat.
Insiden mengejutkan itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan ahli keluarga apabila menyedari kera tersebut berada terlalu hampir dengan bayi itu.
Lebih mencemaskan, kera itu dilihat menghampiri bayi berkenaan dan cuba mengangkatnya, namun gagal. Ia kemudiannya melarikan diri selepas disergah oleh pemilik rumah, yang juga merupakan nenek kepada bayi tersebut.
Walaupun bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, keluarganya memaklumkan bahawa dia kini berada dalam keadaan trauma dan sering menangis ketakutan sejak kejadian tersebut berlaku.
“Alhamdulillah baby baik-baik sahaja, cuma menangis ketakutan. Semoga menjadi pengajaran untuk semua supaya sentiasa berwaspada. Terima kasih kepada yang mendoakan,” tulis @yanarahman1231 menerusi kapsyen video yang dimuat naik.
Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran kawasan hutan, agar lebih berhati-hati dan memastikan pintu serta tingkap sentiasa ditutup rapat bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar.
Pihak berkuasa diseru untuk menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengawal populasi kera liar yang semakin agresif dan berani memasuki kawasan kediaman.
Baca juga: Ibu Dakwa Anak Dibakar Oleh Rakan Ketika Bermain, Kini Cacat Kekal & Ingin Tuntut Keadilan!
Sumber: TikTok
