Euforia Bola 2026
Kini Trending

Kenapa Kanak-Kanak Bawah 13 Tahun Tak Patut Ada Media Sosial? Ini Penjelasan Saintifiknya

Zaman digital kini melangkah pantas, dari main permainan mudah alih ke tonton video, ke interaksi sosial dalam aplikasi.

Bagi anak-anak kita, apa yang dimulakan sebagai hiburan kadang-kadang boleh menjadi bahaya yang tersembunyi.

Oleh itu, kerajaan kini mempertimbangkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 13 tahun, sebagai langkah melindungi mereka daripada risiko digital yang semakin mendalam.

Langkah ini disokong dengan penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan pindaan undang-undang berkaitan.

Apa sebenarnya yang mendorong cadangan ini dan kenapa ia wajar disokong oleh semua ibu bapa? Mari kami kupaskan isu ini.

Perkembangan kognitif & ketahanan digital kanak-kanak

Pakar Psikologi Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, menjelaskan bahawa kanak-kanak bawah umur 13 tahun sebenarnya belum bersedia untuk berada di media sosial.

Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun masih dalam fasa perkembangan otak yang memerlukan bimbingan rapi. Mereka belum mempunyai kemampuan penuh untuk menilai risiko, mengawal emosi atau memahami akibat jangka panjang.

“Mereka belum mampu menilai risiko seperti buli siber, penipuan atau eksploitasi. Tambahan pula, mereka mudah terpengaruh dengan kandungan tidak sesuai serta belum memahami konsep privasi dan sempadan digital,” jelas beliau.

Di usia sebegitu, mereka sepatutnya belajar berinteraksi di taman permainan, bukan di ruang maya yang tak diketahui siapa lawannya.

Sumber gambar: Freepik

Platform media sosial seperti TikTok, Instagram atau YouTube direka dengan algoritma yang membuatkan pengguna ‘ketagih’ untuk terus menonton.

Ini boleh melemahkan daya tumpuan, mengganggu prestasi akademik dan menjejaskan kesihatan mental anak-anak.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 4% daripada kanak-kanak berumur 12–17 tahun di Malaysia pernah mengalami eksploitasi seksual dalam talian dalam tempoh setahun.

Jika diambil kira populasi nasional, angkanya boleh mencecah lebih 100,000 kanak-kanak dan ini merupakan satu jumlah yang amat membimbangkan.

Risiko emosi & bahaya eksploitasi siber

Media sosial bukan sekadar ruang hiburan. Ia boleh jadi medan perbandingan, tekanan dan kesepian terselindung.

“Risiko utama termasuk tekanan emosi, perbandingan sosial yang tidak realistik, buli siber dan gangguan imej diri.

“Ramai remaja kini mengalami kemurungan serta gangguan tidur akibat penggunaan berlebihan,” jelas Dr. Fauziah lagi.

Lebih membimbangkan, laporan UNICEF dan PDRM menunjukkan peningkatan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, termasuk grooming dan sextortion.

“Kebanyakan mangsa tidak sedar bahawa mereka sedang dieksploitasi,” tambah beliau.

Sumber: NTBSatu

Di sinilah pentingnya kepekaan ibu bapa, bukan sekadar memantau waktu skrin, tapi memerhati perubahan kecil pada tingkah laku dan emosi anak.

Ramai ibu bapa mungkin takut anak ‘ketinggalan’ kalau tak diberi telefon atau media sosial awal.

Namun kata Dr. Fauziah, apa yang penting bukan siapa yang paling cepat terdedah, tetapi siapa yang paling bersedia.

“Kelewatan digital bermaksud menangguhkan pendedahan anak kepada dunia digital hingga mereka matang dari segi sosial, emosi dan kognitif,” ujarnya.

Biar mereka bermain di luar, berlari tanpa perlu rakam, berbual tanpa perlu ‘like’kerana kemahiran hidup sebenar tak datang dari notifikasi, tapi dari pengalaman.

Undang-undang & perlindungan digital semasa

Melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), kerajaan kini bakal mewajibkan verifikasi umur yang lebih ketat di semua platform media sosial.

Tidak lagi bergantung pada ‘saya lahir tahun sekian’, tetapi perlu bukti sah sebelum akaun dibuka.

Undang-undang ini akan memberi kuasa lebih luas kepada agensi seperti MCMC dan PDRM untuk mengambil tindakan terhadap platform yang gagal melindungi pengguna bawah umur.

Ia juga menyokong kerjasama antara agensi seperti dalam Kempen Internet Selamat (KIS) dan Kerangka Keselamatan Dalam Talian Negara (NOSF), menunjukkan Malaysia serius dalam melindungi kanak-kanak dari ancaman digital.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), individu yang terlibat dalam penyebaran bahan lucah kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara hingga 5 tahun atau denda RM1 juta, atau kedua-duanya sekali.

Akta ini turut mewajibkan platform digital:

  • Memadam kandungan berbahaya dengan cepat
  • Menyediakan sistem aduan mesra pengguna
  • Melibatkan ibu bapa dalam proses pendaftaran akaun anak

Inisiatif ini bukan untuk mengongkong, tetapi untuk memastikan anak-anak tidak menjadi mangsa tanpa sedar.

Pendidikan digital perlu serentak di rumah & sekolah

Keselamatan digital bukan tanggungjawab satu pihak.

“Ibu bapa, sekolah, dan agensi kerajaan perlu berganding bahu. Latihan literasi digital, silibus keselamatan siber, serta sistem laporan di peringkat komuniti amat penting,” jelas Dr. Fauziah.

Apabila semua pihak faham peranan masing-masing, barulah ruang digital menjadi tempat yang lebih selamat untuk anak-anak belajar dan berkembang.

Sumber: Kelab Mama

Larangan media sosial untuk anak bawah 13 tahun bukanlah tindakan ekstrem tetapi ia satu langkah penting dalam dunia di mana digital sudah menjadi bahagian integral kehidupan. Sesuatu yang kelihatan remeh pada usia muda boleh membawa kesan besar kemudian hari.

Undang-undang seperti ONSA, penguatkuasaan melalui operasi seperti Op Pedo, dan program kesedaran seperti KIS adalah bahagian usaha menyeluruh.

Akan tetapi, ibu bapa tetap menjadi ‘barisan pertahanan pertama’.

Dengan pendidikan, perhatian dan tindakan bijak, kita boleh memastikan anak-anak bergerak maju ke dunia digital dengan lebih selamat.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×