Euforia Bola 2026
Nur

Ditindih Masa Tidur Sebenarnya Gangguan Mistik Atau Mainan Otak? Buat Ramai Keliru!

kena tindih

Pernah kena tindih masa tidur? Badan tak boleh bergerak, rasa sesak nafas dan macam ada benda menekan dada. Ada yang kata gangguan makhluk halus, tapi sains sebut ini sebagai sleep paralysis. Jadi, sebenarnya halusinasi atau gangguan mistik?

Mari ketahui dengan lebih lanjut berdasarkan dua perspektif berbeza iaitu saintifik dan mistik.

Baca juga: Sakit Kepala Komitmen Lebih Dari Gaji, Pemuda Ini Lega Lepas Amalkan Doa Ini & Duit Sentiasa Cukup!

KENA TINDIH MASA TIDUR: HALUSINASI VS HANTU

1. Saintifik

kena tindih

Gambar Getty Images

Sememangnya ditindih semasa tidur merupakan fenomena yang dianggap aneh. Maka, tidak hairan kebanyakan orang mengaitkan situasi tersebut dengan paranormal.

Sebenarnya, fenomena ini berkaitan dengan dua hormon iaitu Glycine dan Gamma Aminobutyric Acid (GABA). Kedua-duanya memainkan peranan penting melumpuhkan otot-otot badan ketika fasa rapid eye movement (REM) kerana pada ketika ini, diri mengalami mimpi.

Tujuan kelumpuhan tersebut adalah untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dimimpikan. Jika terjaga di fasa REM, maka anda akan mengalami kelumpuhan kesan daripada rembesan hormon tersebut.

Otot anda masih lumpuh tetapi mata anda berkeliaran memandang persekitaran dan dalam masa yang sama, anda merasakan sesuatu menindih di bahagian dada anda. Usah khuatir!

Anda akan boleh bergerak seperti biasa. Kelumpuhan ini kebiasaannya berlaku dalam sekitar 1 hingga 3 minit. Ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah kesihatan melainkan pengalaman yang agak menakutkan.

Setakat ini, tiada rawatan spesifik menurut protokol perubatan dalam merawat masalah ini. Perkara yang sering diketengahkan adalah tabiat tidur yang baik.

Kelumpuhan ini boleh menjadi petanda bahawa anda tidak mendapatkan tidur yang cukup. Antara rekomendasi untuk mengelakkan fenomena ini adalah menghadkan minuman berkafein dan barangan elektronik perlu dielakkan sebelum waktu tidur untuk menjamin kualitinya.

Baca juga: Solat Jemaah Sah Ke Kalau Imam Terlupa Mandi Wajib? Jawapan Ini Mungkin Mengejutkan!

2. Mistik

kena tindih

Gambar Getty Images

Dalam kepercayaan masyarakat Melayu dan Islam, ‘kena tindih’ dikaitkan dengan gangguan jin atau makhluk halus. Hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

“Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikan: ‘Nikmatilah malam yang panjang ini,’ Apabila dia bangun lalu mengingati Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa menjadi lembap dan malas.”

Daripada hadis itu, Pensyarah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr. Syed Hadzrullatfi bin Syed Omar berkata, di situlah bukti adanya gangguan syaitan ketika tidur.

Firman Allah surah Fatir: 6,

“Syaitan adalah musuh bagi kamu, jadikan dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.”

Bersandarkan hadis tersebut, Dr. Syed Hadzrullatfi juga meletakkan keyakinan bahawa adanya gangguan mahkluk lain iaitu syaitan ketika sedang tidur.

Selaku orang beriman, umat Islam harus percaya akan kewujudan makhluk lain yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar. Disebabkan itu, kemungkinan juga berlaku gangguan ketika tidur adalah munasabah.

Menurut beliau kajian saintifik itu tiada yang salahnya, malah semuanya betul belaka. Kajian saintifik itu bagus untuk kita sentiasa positif dan merungkai misteri mengikut pandangan psikologi.

Tetapi apa yang penting, pengalaman individu yang berdepan dengan mimpi itu juga perlu dititik beratkan. Orang yang mengalami situasi ditindih sahaja mengetahui sejauh mana ketakutan, kegelisahan dan perasaan yang dialami ketika itu.

Jadi tidak boleh mengatakan kesemua individu yang ditindih ialah kesan psikologi diri mereka, tetapi kewujudan syaitan tidak boleh dipandang remeh.

Selain itu, ciri-ciri orang yang ‘diganggu’ adalah seperti berikut:

  • Badan yang diganggu makhluk halus biasanya terasa panas apabila disentuh namun pemilik badan merasa sebaliknya seperti orang demam, meskipun sihat walafiat.
  • Akan menyendiri dan merasa takut yang luar biasa, sehinggakan kadangkala mereka tidak tahu apa yang ditakuti itu.
  • Menjadi lupa dan lalai terhadap sesuatu kebaikan dan membuat seseorang yang telah dirasukinya merasa tertekan.
  • Hatinya selalu merasakan keraguan di dalam ibadatnya, kepercayaannya terhadap Allah, hilang keyakinan diri dan kecewa dengan kehidupannya.

Justeru, tegas Dr. Syed Hadzrullatfi, jika ciri-ciri tadi ada pada diri individu tersebut, kemungkinan besar situasi ditindih sewaktu tidur itu adalah hasil daripada gangguan syaitan dan iblis.

Dan harus diingat situasi ditindih ini berlaku ketika berada di peringkat tidur kelima, iaitu REM, di mana ketika itu juga mimpi berlaku, seperti yang dikaji oleh saintis.

Bahkan dalam Islam dinyatakan, mimpi yang dikatakan mainan tidur ini juga mempunyai tiga sumber seperti hadis Rasulullah S.A.W.,

“Mimpi itu ada tiga macam: bisikan hati, ditakuti syaitan, dan khabar gembira daripada Allah.” HR. Bukhari dan Muslim

Baca juga: Telekung Cantik Tapi Guna Fabrik Nipis, Sah ke Solat Kita? Ini Hukumnya

Sumber: Hello Doktor / Utusan TV

FT Image: CNET.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×