Euforia Bola 2026
40 Minggu

Ibu Bapa Arwah Bayi Al Fateh Dapat Zuriat Kembar 3, Sultan Pahang & Tengku Ampuan Pahang Zahir Ucapan Tahniah

kembar 3

Kelahiran kembar 3 perempuan kepada pasangan Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abd Halim dan isterinya, Sabrina Hakiem Zaini menjadi khabar gembira yang menyentuh hati rakyat Malaysia, terutama selepas mereka sebelum ini diuji kehilangan anak tunggal akibat kecuaian pengasuh.

Selepas 13 tahun menanti zuriat, pasangan ini kembali tersenyum apabila menyambut kelahiran tiga cahaya mata perempuan yang bernama Maryam Al Lubna (9.40 pagi), Maryam Al Khawla (9.42 pagi) dan Maryam Al Arwaa (9.46 pagi) yang dilahirkan di Hospital Melaka pada Jumaat, 24 Oktober 2025.

Baca juga: Kulit Hitam Tiba-Tiba Muncul Masa Hamil, Doktor Kongsi Punca & Cara Mommy Hadapinya Dengan Tenang

KELAHIRAN KEMBAR 3 PENGUBAT RINDU KEPADA AL FATEH

kembar 3

Kelahiran itu turut mendapat perhatian dan ucapan tahniah daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kelahiran bayi-bayi comel tersebut.

Dalam kenyataan rasmi di Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua mendoakan agar ketiga-tiga bayi membesar dengan sihat, bahagia dan sentiasa dilimpahi kasih sayang.

“Ketiga-tiga bayi berkenaan merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) ditubuhkan pada 2004,” menurut kenyataan tersebut.

Tunku Azizah yang juga Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF, pernah menzahirkan keprihatinan terhadap pasangan ini dengan menawarkan rawatan IVF percuma selepas mereka kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri, akibat kecuaian pengasuh di Melaka pada tahun lalu.

Tragedi tersebut pernah mengundang simpati seluruh rakyat Malaysia yang tersentuh dengan ujian berat menimpa pasangan yang sudah menanti zuriat selama lebih sedekad itu.

Baca juga: 31 Tahun Dibekukan, Bayi Lelaki Hasil Embrio Akhirnya Hidup Di Dunia Nyata Pada Julai Lalu!

kembar 3

Dalam hantaran di Facebook, Mohd Fikry menzahirkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah SWT serta menjunjung kasih kepada Tuanku atas tajaan dan sokongan moral yang diberikan.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku di atas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral. Isteri saya selamat melahirkan anak kembar tiga secara pembedahan dan semuanya sihat. Terima kasih juga kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kami,” katanya.

Beliau turut mengimbas kenangan bersama arwah anak mereka dengan penuh rindu dan sayu.

“Al Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy daddy dia sekarang. Hari Jumaat Al Fateh dijemput menghadap penciptaNya, Jumaat juga Allah hadirkan puteri-puteri adik Al Fateh kepada kami. Perancangan Allah adalah yang terbaik,” tulisnya.

Mohd Fikry turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas sokongan dan bantuan yang diterima sepanjang tempoh ujian hidup mereka.

Beliau berkata, kelahiran tiga cahaya mata itu bukan sekadar anugerah, tetapi juga satu penguat semangat untuk mereka terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Semoga dengan kelahiran puteri-puteri kami ini dapat mengembalikan keceriaan dan kebahagiaan yang pernah kami kecapi bersama arwah Al Fateh,” ujarnya.

Pasangan ini turut berterima kasih kepada barisan doktor dan jururawat Hospital Melaka yang menjaga ibu serta bayi sepanjang 73 hari pemantauan sebelum kelahiran.

Di media sosial, ramai warga maya turut berkongsi rasa terharu dan menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan ini yang dianggap contoh kekuatan dan reda dalam menghadapi ujian Tuhan.

Kelahiran tiga puteri ini bukan sahaja pengubat rindu terhadap arwah Al Fateh, tetapi juga simbol kasih Ilahi dan bukti bahawa setiap doa yang dipanjatkan dengan sabar akhirnya pasti dimakbulkan pada waktu yang paling indah.

Sumber: Facebook Mohd Fikri Amri (1) (2) / Kesultanan Pahang

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×