Satu kejadian menggemparkan sebuah sekolah apabila seorang murid lelaki berusia sekitar empat hingga lima tahun mengalami kecederaan pada bahagian alat sulitnya. Kemaluan cedera selepas digunting oleh rakan sekelasnya sendiri!
Insiden itu berlaku di Solo, Indonesia ketika kanak-kanak tersebut mengikuti aktiviti ‘gunting dan tampal; yang dijalankan dalam kelas di bawah pengawasan guru.
Baca juga: Budak 6 Tahun Main Sendirian Masukkan Guli Dalam Miss V, Doktor Sahkan Selaput Dara Terkoyak!
KEMALUAN CEDERA SELEPAS RAKAN GUNTING, NAK TIRU AKSI ORANG BERSUNAT

Foto: freepik
Menurut Ketua Pejabat Pendidikan Kota Solo, Dwi Ariyatno, kejadian bermula apabila guru berkenaan meninggalkan seketika sebahagian murid untuk membawa kumpulan lain mencuci tangan. Dalam tempoh singkat itulah, seorang murid lain dilaporkan mengambil gunting dan bertindak menggunting kemaluan rakannya.
“Kejadian berlaku di dalam kelas. Kanak-kanak itu memberitahu dia melakukannya kerana mahu ‘mempraktikkan’ amalan berkhatan,” ujar Dwi ketika ditemui media tempatan.
Mangsa segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Doktor mengesahkan kecederaan tersebut tidak mengancam nyawa, dan kanak-kanak berkenaan kini dilaporkan stabil serta sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Namun, pihak berkuasa tempatan melalui Jabatan Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Kota Surakarta terus memantau keadaan mangsa bagi memastikan aspek fizikal dan emosi kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik.
Dalam masa sama, pihak sekolah telah mengadakan sesi rundingan bersama keluarga kedua-dua murid bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dan mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. Susulan insiden tersebut, Pejabat Pendidikan Kota Solo kini sedang menilai semula prosedur keselamatan di sekolah, termasuk kaedah penyimpanan serta penggunaan peralatan tajam dalam aktiviti pembelajaran murid.
“Kita akan memperketat kawalan keselamatan, terutama ketika melibatkan alat seperti gunting, pisau dan peralatan seni yang berisiko mencederakan,” tambah Dwi.

Foto: freepik
Kejadian ini menjadi peringatan penting kepada semua institusi pendidikan awal kanak-kanak tentang keperluan pemantauan rapi dan keselamatan semasa aktiviti kelas dijalankan lebih-lebih lagi melibatkan murid prasekolah yang masih belum memahami bahaya sesuatu tindakan. Kena ‘alert’!
Sumber: Mstar
