Saat pertama kali menjejakkan kaki di Oslo, Norway pada 2010 membuatkan Nor Azira Abdul Aziz, 40, tidak membayangkan yang dia kini sudah menetap di situ selama 14 tahun bersama keluarga kecilnya.
Pada mulanya, Nor Azira berhijrah ke Norway kerana mengikut suami, Faizul Akmal Ahmad Rodi, 44, yang bekerja sebagai jurutera minyak dan gas. Namun, dalam masa yang sama, dia juga berasa bersyukur untuk dua anak syurganya.
Baca juga: Pertama Kali Berpuasa Di Negara Raja Charles III, Pelajar Kongsi Pengalaman Menarik!
KELUARGA PERANTAU MALAYSIA DI OSLO, NORWAY

Nor Azira Abdul Aziz (tengah) bersama suami dan dua puterinya yang menyarung pakaian raya berwarna ungu pada tahun 2024.
Dua permata hati istimewa pasangan Nor Azira dan Faizul Akmal
Pasangan Nor Azira dan Faizul Akmal mempunyai puteri sulung perempuan, Nur Fazera Akmal Faizul Akmal, 13, yang mempunyai autisme tahap 2.
Nor Azira menjelaskan, penerimaan dan kesedaran tentang autisme sangat tinggi di Norway. Selain kelebihan lain yang ada, seperti rawatan dan sistem pendidikan yang mesra kanak-kanak autisme.
“Kos tinggi namun disebabkan kita bayar cukai di Norway, rawatan jadi percuma selagi berada di Norway. Dari segi sekolah, guru melebihi pelajar dan lebih fokus.
“Selain itu, kerajaan Norway menyediakan “home-relief” selama 3 hari 2 malam buat anak autisme bermalam dan ibu bapa serta adik-beradik autisme boleh “bonding time”. Berehat seketika menjaga anak autisme,” ujarnya ketika ditemu ramah eksklusif oleh penulis Sirap Limau.
Sementara itu, puteri kedua mereka Nur Firzanah Akmal Faizul Akmal, 10, mengalami kecacatan fizikal dinamakan fibular hemimelia semasa lahir. Sewaktu usia 2 tahun, kaki kanan Nur Firzanah telah dipotong dan sehingga kini dia menggunakan kaki palsu.
Tips berpuasa dan beraya bersama anak-anak istimewa

Nor Azira bersama dua puterinya solat Tarawih di masjid Mortensrud Moske, Oslo, Norway.
Bertanya soal menjalani ibadah puasa dan solat Tarawih bersama anak-anak, Nor Azira menjelaskan anak sulungnya masih banyak tidak faham akan perkara asas. Di mana, bab puasa dan solat masih sukar untuk Nur Fazera buat masa sekarang ini.
Biarpun begitu, Nor Azira tidak pernah berputus asa untuk memberikan ilmu kepada permata hatinya itu melalui kaedah bercerita menggunakan gambaran visual (social story) yang telah didedahkan sejak kecil.
Manakala, anaknya Nur Firzanah akan disediakan kerusi untuk memudahkan dia solat kerana keadaan kaki palsunya. Malah, semangat anak kecil ini juga tidak lemah kerana dia tidak pernah meninggalkan puasanya.
Nor Azira yang merupakan pembantu tadika swasta di sana, turut berkongsi cara dia dan suami memujuk anak autisme yang tantrum dan meltdown sewaktu menerima kehadiran tetamu beraya di rumah.
“Jika tantrum atau meltdown, suami saya akan bawa anak keluar berjalan-jalan. Pergi kafe atau sekadar pusing-pusing sekitar Oslo,” ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada 7 adik-beradik dan mempunyai kembar.
Baca juga: Sedekad Tak Balik Beraya & Berpuasa, Wanita Ini Kongsi Kisah Hidupnya Di New Zealand
Keindahan Ramadan berlangitkan Aurora

Pemandangan rumah berlangitkan Aurora, di tempat Nor Azira berdiri yang berada di kawasan kejiranannya.
Memandangkan tahun ini berpuasa pada musim sejuk, Nor Azira berkata ia membuatkan badan berasa cepat lapar dan bibir kering. Di mana, suhu paling rendah ialah -7 celcius dan paling tinggi +16 celcius.
Ditambah pula, peralihan musim sejuk yang sedang menuju ke musim bunga menyebabkan tempoh berpuasa berubah dari pendek ke panjang iaitu 12 jam hingga 16 jam.

Juadah berbuka yang disediakan Nor Azira untuk keluarganya.
Menurut Nor Azira, Ramadan pada tahun ini sangat istimewa kerana ia berada di dalam waktu kemunculan Aurora (Northern Light) yang jelas di langit iaitu sepanjang bulan September sehingga April. Di mana, Aurora merupakan fenomena menakjubkan yang biasa berlaku di Norway.
Ujarnya lagi, kehidupan merantau di negara orang membuatkan Nor Azira dan keluarga sangat merindui makanan Malaysia seperti Kuih Limas Perak, Tepek Ja’ama, Air Keladi, Tauhu Sumbat Pedas dan Air Kanto.
Rendang Ikan Paus keunikan hidangan pagi Syawal

Rendang Ikan Paus yang dijamukan Nor Azira kepada keluarga dan tetamu setiap kali menyambut Syawal.
Seperti orang lain, persiapan raya sudah mula direncanakan di minda sejak masuknya Ramadan. Bagi Nor Azira, dia merancang mengenakan warna hijau muda sebagai tema pakaian raya keluarga tahun ini.
“Setakat ini, saya cuba sediakan pakaian raya kerana berkemungkinan kali ini raya jatuh pada hari Ahad hujung bulan. Masa cuti sekolah.
“Di Norway, Hari Raya tidak dianggap sebagai cuti umum. Perlu mohon cuti jika jatuh pada hari bekerja,” ujarnya yang kali terakhir pulang beraya di Malaysia pada 2014 di Kampung Parit, Perak dan Sungai Petani, Kedah.
Bahkan, setiap tahun, bagi merasai kemeriahan menyambut raya sebagaimana di Malaysia, Nor Azira akan mengadakan rumah terbuka. Tetamu yang hadir pula dari pelbagai latar belakang dan negara yang sudah lama menetap di Norway.
Menariknya, hidangan istimewa raya di rumah Nor Azira ialah Rendang Ikan Paus, Daging Masak Hitam dan Laksa Penang.
“Jenis ikan paus yang terjual adalah Minke Whale cuma saya tidak pasti bahagian yang mana kerana saiznya yang besar. Orang Norway biasanya buat Steak Ikan Paus dan Burger Ikan Paus. Saya beli 4 keping pada harga 119 NOK atau RM49.74,” ujar Nor Azira di akhir temu ramah.

Nor Azira bersama perantau Malaysia dan Norwegian ketika majlis Iftar bersama UMInor (Ukhwah Muslim Indonesia Norwegia) di Huk Aveny, Bygdøydan.

Faizul Akmal bersama perantau Malaysia dan Norwegian ketika majlis Iftar bersama UMInor (Ukhwah Muslim Indonesia Norwegia) di Huk Aveny, Bygdøydan.
@kakaknorway “Kat Norway ada bazar ramadan ke?” Oh, Takde. Namun, Semalam saya buat makan-makan berbuka puasa bersama kenalan orang Malaysia di Norway. Yang saya masak cuma: •Nasi lemuni •ayam kuzi •sambal tumis udang •Laksa •Agar-agar lumut bersantan Yang lain bawak: •ayam goreng •kurma ayam •kuih seri muka •roti jala •kari ayam •buah tembikai (buat air tembikai) •bubur kacang •buah kurma Memang rasa macam bazar ramadan woih! Saya suka kemeriahan begini. Sudahlah jarang berjumpa, Sesekali bertemu begini indah mashaallah. Moga ukhwah yang terbina hingga ke jannah insyaallah. Salam ramadan dari #orangperakdoknorway #malaysianinnorway #NasiLemakDay #ramadan2025 #bukapuasa #norway
AMARAN!
Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Sirap Limau dengan pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.
