Ramai ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa kedai keropok lekor yang dibeli di tepi jalan sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan anak.
Menurut perkongsian Dr. Suriyakhatun, terdapat beberapa isu keselamatan makanan yang perlu diberi perhatian, terutama apabila keropok lekor tersebut tidak dihasilkan mengikut piawaian kebersihan dan kualiti yang betul.
Baca juga: Mata Nak Terlelap Lepas Makan Bukan Sebab Kenyang, Itu Petanda Anda Ada Penyakit Ini!
KEDAI KEROPOK LEKOR TEPI JALAN BAHAYAKAN KESIHATAN ANAK, DOKTOR JELASKAN SEBAB

Keropok lekor yang dijual di tepi jalan lazimnya menggunakan ikan yang tidak segar atau tidak laku di pasaran. Ikan tersebut kadang-kadang berbau hamis dan teksturnya lembik.
Lebih membimbangkan, terdapat kes di mana pengusaha merendam ikan dalam formalin bagi memastikan ia kelihatan segar dan bebas bau. Formalin adalah bahan pengawet yang biasanya digunakan untuk mayat dan tindakan itu jelas tidak selamat untuk dimakan oleh manusia, apatah lagi oleh kanak-kanak yang sistem tubuhnya masih berkembang.
“Garam + MSG terlampau banyak! 100 gram keropok boleh ada sampai 1000mg garam termasuk mag– lebih teruk dari secawan mi segara. Anak makan 4-5 kerat terus melebihi had garam harian. Nanti darah tinggi dari kecil, buah pinggang rosak awal-awal.
Minyak masak guna berulang-ulang kali sampai hitam pekat! Bila minyak dipanaskan berkali-kali, dia bertukar jadi racun kerana boleh sebabkan sakit jantung, kanser, kerosakan hati dan otak. Budak kecil lagi teruk terima kesannya sebab badan masih membesar,” jelasnya.

Tambahan pula, tabiat anak yang sering makan keropok lekor juga boleh menjejaskan selera mereka terhadap makanan di rumah. Selepas makan keropok, anak biasanya tidak mahu mengambil nasi atau lauk yang berzat, dengan alasan “lauk hambar”.
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka kurang zat besi dan kalsium, seterusnya menjejaskan pertumbuhan fizikal, pembelajaran, dan sistem imunisasi mereka.
Dr. Suriyakhatun menekankan bahawa makan keropok lekor sekali-sekala tidak menjadi masalah, tetapi pembelian secara kerap tanpa mengetahui sumber dan kebersihannya boleh membahayakan kesihatan anak-anak.
Beliau menyarankan ibu bapa menyediakan keropok lekor sendiri di rumah menggunakan ikan segar dan minyak baru, atau membeli produk yang mempunyai sijil Halal dan MeSTI daripada pengeluar yang bertanggungjawab.
Baca juga: Air Beroksigen Tinggi TAK Boleh Rawat Batuk & Paru-Paru, Jangan Mudah Percaya Benda Viral
Sumber: Facebook Dr Suriyakhatun
