Beberapa cawangan kaunter perkhidmatan pasport akan ditutup sementara secara berperingkat dalam tempoh terdekat susulan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan sistem oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Sepanjang tempoh penutupan, beberapa perkhidmatan berkaitan pasport tidak akan dapat dijalankan di cawangan yang terlibat. Ini termasuk urusan permohonan pasport secara fizikal di kaunter, permohonan melalui platform MyOnline Pasport serta proses percetakan dan pengeluaran pasport baharu.
Baca juga: Amira Othman & Fattah Amin Timang Cahaya Mata Lelaki, Umum Nama Indah Penuh Makna
71 KAUNTER PERKHIDMATAN PASPORT DITUTUP SEMANTARA BERMULA 26 JUN

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai perancangan perjalanan dalam masa terdekat disaran menyelesaikan urusan berkaitan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, proses penutupan sementara ini akan dilaksanakan secara berfasa dengan Fasa 1 dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun.
Antara pejabat pengeluar pasport yang terlibat dalam fasa pertama ialah:
- Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya
- Pejabat Imigresen Jalan Duta
- Pejabat Imigresen Melaka
- Pejabat Imigresen Kelana Jaya
- Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Selain itu, beberapa pejabat di bawah Pusat Transformasi Bandar (UTC) turut terlibat dalam penutupan sementara tersebut.
Sembilan cawangan UTC yang menawarkan perkhidmatan pasport akan menghentikan operasi buat sementara waktu sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Antara UTC yang terlibat ialah:
- UTC Pudu Sentral (Puduraya)
- UTC Selangor
- UTC Johor Bahru
- UTC Pasir Gudang
- UTC Seremban
- UTC Ipoh
- UTC Kedah
- UTC Sungai Petani
- UTC Seberang Perai
Orang ramai yang merancang untuk memperbaharui atau memohon pasport di lokasi berkenaan disaran mengambil perhatian terhadap jadual penutupan yang diumumkan.
Jabatan Imigresen Malaysia turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini melalui platform rasmi jabatan itu bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan jadual operasi dan penutupan cawangan.
Perancangan awal amat penting terutama bagi mereka yang mempunyai urusan perjalanan ke luar negara dalam tempoh terdekat, bagi memastikan segala proses berkaitan pasport dapat diselesaikan tanpa sebarang gangguan.
Sumber: Berita Harian
