Ramai yang masih tidak tahu bahawa setiap kadar deposit masuk wad di hospital kerajaan adalah berbeza-beza mengikut kelas wad dan jenis rawatan diterima.
Perkara ini penting untuk diketahui lebih awal supaya pesakit atau waris dapat membuat persediaan sewajarnya sekiranya berlaku kecemasan atau perlu mendapatkan rawatan segera.
Baca juga: Jangan Sapu Atau Vakum ‘Taik’ Tikus, Cara Salah Ini Boleh Jadi Punca Jangkitan Penyakit Berbahaya
KADAR DEPOSIT MASUK WAD HOSPITAL KERAJAAN

Kredit: Gemini ai – Sekadar gambar hiasan
Menerusi perkongsian daripada Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, kadar deposit kemasukan wad adalah berbeza mengikut kategori pesakit sama ada warganegara atau warga asing.
Deposit ini merupakan bayaran jaminan awal bagi membolehkan proses rawatan dimulakan dengan segera. Namun begitu, jumlah kos rawatan sebenar akan bergantung kepada prosedur serta rawatan yang diterima sepanjang berada di hospital dan perlu dijelaskan sebelum pesakit dibenarkan discaj.
Bagi pesakit warganegara, kadar deposit yang dikenakan adalah seperti berikut:
Kelas Satu
- Perubatan: RM1,050
- Pembedahan: RM1,650
- Bersalin: RM800
Kelas Dua
- Perubatan: RM200
- Pembedahan: RM400
- Bersalin: RM350
Kelas Tiga
- Perubatan: RM20
- Pembedahan: RM30
- Bersalin: RM15
Sementara itu, kadar bagi warga asing pula lebih tinggi bergantung kepada jenis rawatan diterima.

Buat anda yang tidak tahu, deposit ini bukanlah jumlah penuh bil rawatan, ia hanyalah bayaran awal sebagai jaminan untuk memudahkan urusan kemasukan wad dan rawatan pesakit.
Kos sebenar akan dikira berdasarkan:
- Jenis rawatan diterima
- Tempoh berada di wad
- Pembedahan atau prosedur dilakukan
- Penggunaan ubat dan peralatan perubatan
Jadi, jumlah akhir semasa discaj mungkin berbeza daripada deposit awal yang dibayar.
Dalam situasi kecemasan, ramai waris panik kerana tidak bersedia dengan maklumat berkaitan kos kemasukan wad. Jadi, info seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu orang ramai membuat persediaan lebih awal.
Selain itu, pemilihan kelas wad juga memainkan peranan terhadap jumlah deposit yang perlu dijelaskan semasa pendaftaran masuk wad.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan untuk anda sekeluarga.
Baca juga: Termometer Merkuri Pecah TAK BOLEH Sapu Atau Vakum, Risiko Racun Kanser Boleh Tersebar!
