Jururawat Melayu bernama Nur Deena Nadzhiefa menjadi perhatian ramai selepas rakaman video yang memaparkan dirinya menyuapkan makanan kepada seorang pesakit warga emas berbangsa India tular di media sosial, sekali gus menyentuh hati masyarakat pelbagai kaum.
Video berdurasi 41 saat itu memaparkan keikhlasan dan empati seorang petugas kesihatan yang menjalankan tugas tanpa membezakan latar belakang agama atau bangsa, sehingga mengundang pelbagai reaksi terharu daripada warga maya.
TULAR JURURAWAT MELAYU SUAP WARGA EMAS BERBANGSA INDIA, DIBERI PENGIKTIRAFAN MENTERI KESIHATAN

Gambar: Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Keikhlasan jururawat terbabit turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang berkongsi rasa tersentuh beliau terhadap video berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Dzulkefly, video tersebut benar-benar menjentik perasaan beliau dan mendorongnya untuk bertemu sendiri dengan jururawat berkenaan ketika menghadiri majlis perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Beliau turut menyampaikan satu bentuk pengiktirafan kepada Nur Deena Nadzhiefa sebagai tanda penghargaan terhadap nilai ihsan yang ditunjukkan dalam tugas seharian.
“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai Ihsan yang Deena tunjukkan. Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati,” katanya.
Baca juga: Membanggakan! Pakar Jantung IJN Terpilih Wakili Malaysia Sertai Pasukan Perubatan Sultan Brunei

Gambar: Facebook Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Tambah beliau, tindakan jururawat itu jelas membuktikan bahawa proses penyembuhan pesakit bukan sahaja bergantung kepada rawatan perubatan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh kasih sayang dan kemanusiaan.
Dalam pada itu, warga maya turut membanjiri ruangan komen dengan pujian terhadap sikap terpuji Nur Deena Nadzhiefa, menyifatkannya sebagai contoh sebenar perpaduan dan nilai kemanusiaan yang wajar dicontohi.
Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada jururawat berkenaan kerana berjaya menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugasnya, selain berharap nilai murni yang ditunjukkan itu dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga kesihatan dan masyarakat umum
Baca juga: Pemuda Derma 7 Organ Selepas Kemalangan, Detik Hospital Beri Penghormatan Terakhir Undang Sayu
Sumber: Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
FT Image: Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
