Pentas tilawah al-Quran antarabangsa kembali mencatat sejarah buat Malaysia apabila Aiman Ridhwan bin Mohamad Ramlan berjaya merangkul tempat pertama dalam 1st International Qira’at Competition 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Islamabad, Pakistan, bermula 24 hingga 27 November.
Pertandingan sulung ini dianjurkan oleh Government of Pakistan Ministry of Religious Affairs, yang menghimpunkan qari-qari terbaik dari 37 negara Islam termasuk anggota OIC.
Baca juga: Tersungkur Akibat D*dah, Bekas Banduan Ini Bangkit Melalui Ijazah Sarjana Demi Maruah Anak-Anak
MALAYSIA JUARA DI PENTAS TILAWAH AL-QURAN ANTARABANGSA

Gambar: JAKIM
Sekali gus, menjadikannya satu pentas antarabangsa yang bukan sahaja menonjolkan kepetahan bacaan al-Quran, tetapi juga memperkukuh semangat ukhuwah sesama umat Islam di peringkat global.
Dalam pertandingan yang sengit itu, Aiman Ridhwan dari Malaysia berjaya menyingkirkan rakan-rakan qari lain dan menamatkan saingan di tangga teratas. Tempat kedua dimenangi oleh Adnan Momeninkhamiseh dari Iran, manakala Qari Abdul Rasheed dari Pakistan menduduki tempat ketiga.
Bagi kejayaan cemerlangnya itu, Aiman menerima wang tunai sebanyak lima juta rupee, manakala juara kedua dan ketiga masing-masing menerima tiga juta dan dua juta rupee.
Selain itu, peserta dari Afghanistan, Indonesia dan Morocco masing-masing dianugerahkan 200,000 rupee bagi kedudukan keempat hingga keenam.

Gambar: JAKIM
Pada majlis penutup pertandingan, Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Ishaq Dar, hadir menyerahkan hadiah kepada enam peserta teratas. Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Agama Pakistan, Sardar Muhammad Yousuf, serta hakim utama dan penyelaras pertandingan, Qari Sadaqat.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di laman Facebook rasminya turut berkongsi berita pencapaian Aiman dan berharap agar beliau terus maju jaya, mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan bakat dan disiplin Aiman dalam tilawah al-Quran, tetapi juga menginspirasikan generasi muda Malaysia untuk mendalami ilmu al-Quran dan mengharumkan negara melalui prestasi cemerlang di peringkat dunia.
Baca juga: Hebat! Bapa Usia 57 Rela Ambil Semula SPM Matematik & Add Math Demi Jadi ‘Rakan Belajar’ Anak
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) / Ary News
FT Image: JAKIM
