Bunga tangan kini bukan lagi sekadar pelengkap gaya, tetapi simbol personaliti dan cita rasa si pengantin. Namun, tidak semua bunga sesuai digunakan kerana ada yang akan menyebabkan alahan, iritasi kulit atau bau yang terlalu kuat hingga mengganggu keselesaan.
Bagi mengelakkan bakal pengantin mengalami hal negatif ketika hari bahagia, dinasihatkan untuk mengelakkan 8 jenis bunga tangan ini.
Baca juga: Kit Self-Test Influenza Di Pasaran Belum Dapat Kelulusan MDA, Diagnosis Perlu Disahkan Doktor
BUNGA TANGAN ini TAK SESUAI DIGUNAKAN UNTUK BAKAL PENGANTIN
Berikut lapan jenis bunga tangan yang sebaiknya dielakkan oleh pengantin:
1. Lily

Freepik
Bunga lily sememangnya terkenal dengan kelopaknya yang besar dan bau wangi namun, bau yang terlalu pekat boleh menyebabkan sakit kepala, loya dan rasa tidak selesa, terutama jika majlis diadakan dalam ruang tertutup.
Selain itu, debunga lily mudah melekat pada pakaian serta kulit, menyebabkan gatal-gatal atau reaksi alahan kepada individu yang sensitif terhadap debunga.
2. Baby’s Breath (Gypsophila)

Freepik
Walaupun sering digunakan sebagai bunga tambahan dalam sejambak pengantin, baby’s breath sebenarnya boleh menimbulkan masalah kesihatan.
Serbuk halus daripada bunga ini mudah berterbangan dan boleh menyebabkan bersin, batuk, atau sesak nafas bagi individu yang mempunyai alahan. Sentuhan berpanjangan juga boleh menyebabkan iritasi kulit dan ruam halus pada tangan.
3. Tulip

Freepik
Bunga tangan pengantin perlu dielakkan adalah tulip walaupun kelihatan elegan, namun ia mengandungi getah semula jadi yang boleh menyebabkan kemerahan, pedih atau ruam pada kulit jika disentuh terlalu lama.
Bagi pengantin yang berpeluh atau mempunyai kulit sensitif, risiko iritasi lebih tinggi. Tambahan pula, kelopak tulip mudah layu apabila terdedah kepada haba, menjadikannya kurang tahan untuk majlis yang panjang.
4. Bunga tangan – daffodil

Freepik
Daffodil mengandungi bahan semula jadi yang boleh menyebabkan reaksi alahan seperti ruam atau gatal apabila terkena kulit. Cecair daripada batangnya juga boleh menyebabkan sensasi terbakar ringan. Selain itu, bunga ini mempunyai bau yang agak kuat dan tidak sesuai untuk mereka yang mudah pening atau sensitif terhadap aroma.
5. Gardenia

Bunga gardenia sering dikaitkan dengan simbol keanggunan, namun wangiannya yang terlalu manis dan pekat boleh menyebabkan rasa mual, pening dan tidak selesa. Bau yang kuat ini boleh menjadi gangguan terutamanya jika pengantin memakai bunga tangan dalam tempoh yang lama.
6. Bunga Teratai (Lotus)

Bunga teratai memang cantik dan unik, tetapi tidak praktikal untuk dijadikan bunga tangan. Bau semula jadinya agak kuat dan struktur kelopaknya yang lembap menyebabkan bunga ini cepat rosak apabila disentuh lama. Selain itu, getah daripada batangnya juga boleh menyebabkan kegatalan pada kulit bagi sesetengah individu.
7. Bunga tangan – bunga matahari (Sunflower)

Walaupun ceria dan menyerlah, bunga matahari bukan pilihan sesuai untuk bunga tangan pengantin. Kelopaknya yang besar mengeluarkan debunga dalam jumlah banyak, boleh menyebabkan bersin dan iritasi hidung bagi mereka yang sensitif. Selain itu, tangkainya yang tebal dan kasar boleh menimbulkan rasa tidak selesa ketika digenggam lama.
8. Orkid
Bunga tangan yang terakhir perlu dielakkan adalah bunga orkid, walaupun terkenal dengan keindahan eksotik dan sentuhan elegan yang memukau, namun ia antara bunga yang paling rumit untuk dijadikan hiasan perkahwinan.
Bunga tropika ini sangat sensitif terhadap perubahan suhu dan kelembapan, menyebabkan ia mudah layu, bertukar warna menjadi perang atau lebam terutamanya jika digunakan dalam majlis luar atau cuaca panas.
Sebagai alternatif, pengantin boleh memilih bunga tangan seperti ros, peony, hydrangea, carnation atau eustoma yang lebih lembut pada kulit, tidak terlalu berbau kuat, serta tahan lama.
Keindahan sejambak bunga tangan bukan hanya terletak pada rupanya, tetapi juga pada keselesaan dan keselamatan pengantin di hari bahagia.
Baca juga: Kajian Dedah Daun Jambu Batu Boleh ‘Lawan’ Virus Influenza A, Bukan Sekadar Tanaman Biasa!
Sumber: Windflower & Pro Flowers
