Euforia Bola 2026
Didik

“Pada Tahun 2036, Saya Akan…” – Jawapan Kreatif Murid Buat Warganet Terhibur, Tak Sangka Ada Idea Macam Ini

kerja sekolah

Kerja sekolah selalunya mempunyai jawapan yang betul atau salah. Namun, apabila melibatkan imaginasi dan cita-cita, jawapannya sememangnya tiada had.

Kadangkala, daripada satu soalan yang kelihatan mudah itulah lahir pelbagai jawapan yang tidak disangka-sangka, malah mampu mencuit hati sesiapa sahaja yang membacanya.

Baca juga: Abbe Hae, Abang Minyak Hitam & Pengasas Autism Cafe Project Terima Anugerah Khas Inspirasi Bapa 2026

CIKGU BERI KERJA SEKOLAH RINGKAS, JAWAPAN MURID CURI PERHATIAN

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Baru-baru ini, seorang guru yang menjadi guru ganti (relief) berkongsi satu kerja sekolah ringkas yang diberikannya kepada murid-murid di Threads.

“Pada tahun 2036, saya akan…”

Nampak mudah, tetapi jawapan yang diterima benar-benar di luar jangkaan sehingga membuatkan guru itu sendiri tidak mampu menahan gelak.

Menerusi perkongsian tersebut, guru berkenaan berseloroh

“Relief harini saja bagi student task: ‘Pada tahun 2036, saya akan…’ Ye salah cikgu sebab cikgu cakap tak ada siapa boleh halang cita-cita awak. Tapi janganlah macam ni… sesakkkkkk nafas cikgu.”

Perkongsian itu dengan pantas meraih perhatian warga maya.

Ada yang nak jadi Ultraman, ada yang nak jadi trilionair

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Daripada gambar yang dikongsikan, jelas setiap murid mempunyai cara tersendiri membayangkan kehidupan mereka 10 tahun akan datang.

Antara jawapan yang paling mencuri perhatian ialah seorang murid yang menulis bahawa dia mahu menjadi Ultraman dan berlawan dengan raksasa.

Bukan sekadar menulis, malah dia turut melukis watak Ultraman bersama musuhnya, lengkap dengan aksi pertarungan.

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Tidak kurang juga yang memasang impian besar untuk menjadi trilionair kedua selepas Elon Musk. Walaupun cita-cita itu kedengaran luar biasa, keyakinan yang ditunjukkan murid tersebut membuatkan ramai tersenyum.

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Selain impian menjadi adiwira, terdapat juga pelbagai cita-cita lain yang tidak kurang kreatifnya. Ada murid yang mahu menjadi pari-pari yang comel dan boleh terbang.

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Selain itu, ada juga yang menulis mahu menjadi doktor gigi dan ingin mencabut gigi pesakit.

Walaupun jawapan mereka kedengaran lucu, setiap satunya jelas menggambarkan imaginasi yang begitu luas serta keberanian untuk bermimpi besar.

Jawapan kerja sekolah ringkas, tetapi paling menyentuh hati

kerja sekolah

Foto: Threads @lesyaahmmad

Di sebalik pelbagai jawapan yang membuatkan ramai ketawa, terselit juga satu jawapan yang cukup sederhana tetapi berjaya menyentuh hati ramai.

Seorang murid menulis bahawa pada tahun 2036 nanti dia mahu menjadi seorang yang lebih baik supaya tidak mudah marah apabila kalah bermain permainan video.

Jawapan itu mungkin kelihatan ringkas, namun ia menunjukkan bahawa bagi seorang kanak-kanak, perubahan sikap juga merupakan satu impian yang ingin dicapai.

Kadangkala, cita-cita bukan sekadar tentang kerjaya atau kekayaan, tetapi juga tentang menjadi insan yang lebih baik daripada diri sendiri hari ini.

Bagi orang dewasa, impian seperti melawan alien, menjadi Ultraman atau berkawan dengan watak kartun mungkin kedengaran mustahil.

Namun bagi kanak-kanak, imaginasi mereka masih belum dibatasi oleh realiti kehidupan. Apa yang mereka tonton di televisyen, baca dalam komik atau lihat di media sosial sering menjadi sebahagian daripada dunia mereka.

Atas sebab itu, ramai berpendapat tiada jawapan yang benar-benar salah untuk tugasan seperti ini. Sebaliknya, ia menjadi ruang untuk murid mengekspresikan diri, berfikir secara kreatif dan berkongsi impian mereka dengan penuh keyakinan.

Baca juga: Ramai Ibu Bapa Tak Sedar, 7 Ayat Mudah Ini Boleh Kurangkan Tekanan Anak Sepanjang Musim Peperiksaan

Sumber: Threads @lesyaahmmad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×