Kebelakangan ini, aktiviti gender reveal menjadi perhatian umum selepas tular video pasangan yang mengumumkan jantina anak mereka di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah.
Rakaman bernuansa perayaan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang “rare“, namun ia telah membuka mata umum untuk mengambil pengajaran dan membuka perbahasan penting berkaitan adab di Tanah Haram.
JAKIM ULAS ISU GENDER REVEAL

Gambar: JAKIM
Ulasan JAKIM memberi penjelasan mengapa tindakan ini dianggap kurang sesuai dari sudut syarak, adab dan kepatuhan peraturan Masjidil Haram.
1. Kedudukan Tanah Haram & Kaabah dalam Islam
Kaabah dan Masjidil Haram bukan tempat biasa. Ia tempat ibadah paling agung.
Al-Quran kata:
وَمَن يُرِدْ فِيهِ بِإِلْحَادٍ بِظُلْمٍ نُذِقْهُ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
“Dan sesiapa yang berniat melakukan kejahatan atau penyelewengan di dalamnya (Tanah Haram), Kami akan rasakan kepadanya azab yang pedih.” (Surah Al-Hajj: 25)
Ulama tafsir macam Ibn Kathir dan Al-Qurtubi menjelaskan, apa-apa perbuatan yang mengurangkan kehormatan Tanah Haram termasuk dalam larangan ini, walaupun niat asalnya tidak jahat.
2. ‘Gender Reveal’ itu ibadat atau adat?
Kita tengok kaedah fiqh sebut,
الأصل في العبادات التوقيف
“Asal dalam ibadah ialah terikat dengan dalil.”
Jadi, gender reveal bukan ibadah sebab tiada dalil, ia cuma adat dan budaya moden.
Masjidil Haram pula khusus untuk ibadah macam solat, tawaf, zikir, doa. Aktiviti adat yang tiada keperluan syarie tidak sesuai dibuat di sana.
3. Unsur mengganggu dan menyusahkan jemaah
Kebanyakan gender reveal ini melibatkan:
- Rakaman video
- Perhimpunan
- Emosi berlebihan
- Fokus kamera, bukan ibadah
Hadis Nabi ﷺ:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh menyusahkan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah)
Ulama pula sepakat, mengganggu jemaah tawaf atau solat adalah haram, walaupun dengan perkara “baik”.
Baca juga: Ini 8 Hotel Di Mekah Yang Betul-Betul Dekat Dengan Masjidil Haram, Memang Terbaik & Berbaloi!

Gambar hiasan: Freepik
4. Pandangan ulama & fatwa kontemporari
Ulama semasa dan pihak berautoriti (termasuk garis panduan Masjidil Haram) tegaskan. Tidak dibenarkan:
- Rakaman konten peribadi berlebihan
- Aktiviti viral / simbolik
- Perbuatan yang menukar masjid jadi “latar acara”
Syeikh Abdullah al-Faqih (ulama kontemporari) menegaskan:
“Masjid bukan tempat menzahirkan kegembiraan duniawi dengan cara yang menyerupai perayaan adat.” (Islamweb : أحكام وآداب المساجد)
Gender reveal jatuh dalam kategori ini.
5. Isu niat baik dan cara betul
Mungkin ada yang kata, “Kami bersyukur je, niat baik.”
Islam jawab dengan kaedah ini:
الغاية لا تبرر الوسيلة
“Matlamat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah.”
Syukur itu memang ibadah, tapi cara syukur mesti ikut adab tempat ibadah.
6. Cara yang lebih tepat dan beradab
Kalau nak kaitkan dengan Tanah Haram, buat dengan cara berdoa di depan Kaabah tanpa rakaman.
Contoh doa, “Ya Allah, jadikan anak ini anak yang soleh/solehah.”
Yang penting bersyukur dalam hati, tak pamer pun tidak mengapa. Jadi, pesanan JAKIM elakkan:
- Pengumuman gender
- Rakaman khas
- Reaksi dramatik
- Konten media sosial yang keterlaluan
Terakhir sekali, bukan gender reveal sahaja, apa-apa adat duniawi di depan Kaabah ini adalah:
- Tak wajar
- Bertentangan dengan adab Tanah Haram
- Berpotensi haram jika mengganggu jemaah
- Tiada sandaran Quran dan Sunnah
Syukur itu sunnah, tapi adab lebih utama. Ingatlah, Kaabah tempat merendahkan hati bukan menonjolkan diri. Tempat tunduk, bukan menunjuk.
Baca juga: Hukum Kakak Menyusukan Adik Kandung, Ini Jawapan Lengkap Untuk Elak Orang Ramai Keliru
Sumber: Bahagian Dakwah, Jakim
FT Image: Freepik / JAKIM
