Euforia Bola 2026
40 Minggu

“Sampai Nak Pitam…”- Izara Aishah Kongsi Cabaran Hamil Anak Ketiga, Mudah ‘Trigger’ & Berat Naik 10KG

izara aishah

Pelakon jelita, Izara Aishah berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil anak ketiga dan sekali lagi bakal menimang cahaya mata perempuan.

Aktres berusia 33 tahun itu dilihat semakin berseri meskipun mengakui kehamilan kali ini agak mencabar berbanding dua pengalaman terdahulu.

Baca juga: Bayi Berat Hampir 5Kg Selamat Dilahirkan, Petugas Hospital Berlari Nak Lihat Kecomelan Si Kecil!

IZARA AISHAH BAKAL TIMANG BAYI PEREMPUAN KETIGA, KALI INI SAMPAI TERPAKSA TINGGAL PUASA

izara aishah

Menurut Izara, pada awalnya dia menyangka bakal memperoleh anak lelaki kerana perubahan minat yang dirasai sepanjang hamil kali ini.

“Dua kehamilan sebelum ini saya rasa sangat feminin. Tapi kali ketiga ini lain sedikit. Saya ingatkan lelaki sebab sekarang suka tengok sukan lasak, UFC, MMA, boxing… saya memang minat sangat Khabib. Rupanya girl juga,” katanya berseloroh.

Walaupun kelihatan aktif, Izara mengakui kesihatannya sedikit terjejas apabila tidak mampu berdiri terlalu lama kerana mudah berasa pening dan hampir pitam.

“Saya memang tak boleh berdiri lama. Rasa macam nak pengsan. Puasa pun sempat beberapa hari sahaja. Bukan tak nak, tapi memang tak larat. Doktor beritahu bayi sedang menyerap protein daripada saya. Kadang-kadang sampai terduduk. Jadi kalau rasa tak kuat, saya kena minum dan rehat,” kongsinya jujur.

Izara juga mendedahkan berat badannya kini meningkat kira-kira 10 kilogram. Namun begitu, dia bersyukur kerana pemeriksaan doktor menunjukkan keadaan dirinya dan bayi berada dalam keadaan baik. Sepanjang tiga kehamilan, Izara berkata dia tidak pernah mengalami alahan atau morning sickness. Sebaliknya, perubahan yang lebih ketara adalah dari segi emosi.

“Saya memang jenis serius bila bekerja dan sangat profesional. Tapi bila orang ambil mudah atau kerja lambat sedangkan benda itu penting, memang saya cepat ‘trigger’,” jelasnya.

Dijangka Bersalin April, Harap Dapat Normal Seperti Sebelum Ini

izara aishah

Kini memasuki usia kandungan tujuh bulan, Izara menganggarkan bayi ketiganya bakal dilahirkan sekitar April, berkemungkinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dia berharap dapat melahirkan secara normal seperti dua kelahiran sebelum ini sekiranya tiada sebarang komplikasi.

“Insya-ALLAH saya harap semuanya dipermudahkan. Setakat ini doktor maklumkan keadaan saya dan bayi baik. Cuma saya doa agar segala urusan sehingga hari kelahiran berjalan lancar,” katanya.

Dalam masa sama, dua anak perempuannya, Irisa Alaia dan Amara Amina, sudah tidak sabar menanti kehadiran adik baharu.

“Kakak-kakaknya asyik suruh adik cepat keluar. Tapi saya kata tunggu dulu, biar sampai masa,” ujarnya sambil ketawa.

Untuk Aidilfitri kali ini, Izara merancang menyambutnya di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Pulau Pinang pada hari raya kedua.

Sebagai rekod, Izara mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Adib Khalid pada 17 November 2017. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini telah dikurniakan dua cahaya mata perempuan dan kini bakal menerima kehadiran puteri ketiga dalam keluarga mereka.

Baca juga: Tak Mengidam Makanan, Uyaina Arshad Mengidam Emas Hamil Anak Ketiga…Sanggup Redah Ke Kuala Pilah!

Sumber: Sinar Plus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×