Isteri koma selepas melahirkan anak, itulah dugaan besar yang ditempuhi seorang suami, Mohd Saiful Sudin, selama tujuh tahun penuh kesetiaan dan kasih tanpa jemu.
Namun, selepas sekian lama berjuang, wanita tabah itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Bachok, meninggalkan suami dan anak yang masih kecil.
ISTERI KOMA LAHIRKAN ANAK, KE NEGERI ABADI SELEPAS 7 TAHUN

Gambar Nor Amalina Alias: Mohd Saiful (tengah) bersama anaknya, Muhamad Syahmi, 7, berdoa di pusara Nor Fadila selepas selesai pengebumian.
“Tujuh tahun jaga isteri sakit, belum puas rasanya. Rasa sekejap sahaja masa, namun hari ini saya reda apabila dia pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Saiful, 35 tahun.
Pemergian isterinya, Nor Fadila Che Par, 34, atau lebih mesra dipanggil Mokla, benar-benar merentap hati Mohd Saiful.
Wanita itu pernah koma selama empat bulan selepas melahirkan anak kira-kira tujuh tahun lalu. Setelah sedar, Nor Fadila hanya mampu terlantar dan tidak lagi dapat menguruskan diri sendiri.
Detik terakhir sebelum pemergian
Menurut Mohd Saiful, pada malam Selasa kira-kira jam 10.20 malam, isterinya dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas. Doktor kemudian meminta kebenaran untuk menidurkan arwah bagi meredakan keadaan.
“Ketika menunggu, doktor maklumkan keadaan isteri sudah tenat dengan buah pinggang rosak tahap tiga, hati sudah rosak, paru-paru kering dan kuman terlalu banyak dalam darah.
“Doktor minta ahli keluarga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan keesokannya (pagi semalam) isteri pergi meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Kok Lintang, Gunong.
Beberapa hari sebelum itu, arwah Nor Fadila hanya mengalami demam ringan tanpa menunjukkan tanda sakit yang serius, namun naluri seorang suami seolah-olah terasa sesuatu.
“Saya perasan arwah kerap memandang wajah saya lama… dia hanya pandang sahaja wajah saya (dan) bila saya suruh dia tidur pun dia tak mahu. Keadaan ini berlarutan sehinggalah (hari) dia meninggal dunia,” katanya dengan nada sebak.
Baca juga: Gara-Gara Isteri Merajuk Tak Buka Pintu, Suami Tertidur Dalam Kereta Sampai Meninggal Dunia

Gambar Nor Amalina Alias: Mohd Saiful (dua kanan,baju merah) selepas selesai urusan pengebumian isterinya, Nor Fadila Che Par di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Jelawat, Bachok.
Kisah pengorbanan Mohd Saiful pernah mendapat perhatian ramai apabila dia menjaga isterinya yang terlantar dengan penuh kasih dan sabar.
Nor Fadila bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang dimasukkan melalui tiub di leher atau perut, malah tidak dapat bercakap selepas sedar daripada koma, hanya mampu menggunakan mata sebagai bahasa isyarat.
Walaupun kehidupannya berubah sepenuhnya sejak hari isteri koma, Mohd Saiful tidak pernah meninggalkan tanggungjawabnya. Dia menjaga isteri siang dan malam, memastikan setiap keperluan dipenuhi walau dalam serba kekurangan.
Anak lelaki hasil perkongsian hidup pasangan ini, yang dilahirkan pada November 2018, kini berusia tujuh tahun dan dijaga oleh kakak arwah, Nur Hasirah, 36 tahun.
Jenazah Nor Fadila selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Jelawat kira-kira jam 6 petang Rabu. Upacara pengebumian turut dihadiri lebih 100 ahli keluarga, penduduk kampung serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Nor Amalina Alias
