Baru-baru ini, tular di laman Facebook apabila seorang kaunselor dan pakar motivasi kecemerlangan, Lukman Moidin, berkongsi tentang insiden eskalator mencemaskan yang berlaku di pusat beli-belah Aman Central, Alor Setar.
Menerusi foto dikongsikan, kelihatan kaki seorang kanak-kanak berusia sekitar dua tahun cedera akibat kasutnya tersepit dalam eskalator. Kejadian itu menyebabkan kaki mangsa tersiat sehingga mengalami pendarahan.
INSIDEN ESKALATOR & LANGKAH KESELAMATAN

Gambar ihsan orang awam
“Antara punca yang menyebabkan kaki kanak-kanak ini termasuk dalam eskalator adalah kasut jenis getah yang dipakai tu. Kasut itu masuk ke dalam eskalator hingga menyebabkan kaki anak pun ikut sama.
“Sebab itu, bila saya baca dekat internet, kasut jenis ini sangat berbahaya apabila digunakan di atas eskalator,” dakwa Lukman.
Kaunselor nasihat ibu bapa supaya pantau anak
Menurut Lukman, selain kasut getah, punca lain kejadian sebegini ialah tali kasut yang terjuntai hingga tersangkut pada celah eskalator. Oleh itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak kecil atau mendukung mereka, terutama ketika sampai di penghujung eskalator.
“Benda ini nampak simple tetapi sebenarnya penggunaan eskalator ini kalau tak kawal, tak jaga anak-anak kecil akan menyebabkan kecelakaan yang sangat dahsyat.
“Memang sangat mengerikan. Sampai ke hari ini saya boleh membayangkan lagi darah yang berada di tempat kejadian dengan kaki anak tu yang tersiat,” kata Lukman.
Beliau menegaskan agar penjaga lebih berhati-hati apabila membawa anak menaiki eskalator di pusat beli-belah atau pasar raya.
Orang ramai kongsi rasa fobia & bimbang
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen mengaku berasa seriau selepas membaca kejadian ini.
“Sis memang fobia dengan eskalator, jenuh bertangga. Lebih rela tunggu lif, lama pun lama lah,” tulis seorang pengguna.
Malah ramai turut bersetuju bahawa kasut jenis getah mudah tersangkut pada eskalator.
“Rasanya memang (punca) kasut tu sebab jenis bergetah. Tapi masih kena beringat. Yang kecil-kecil tu kalau boleh dukung la sekejap sementara atas eskalator tu,” ujar seorang wanita.
LANGKAH KESELAMATAN GUNA ESKALATOR
Seorang pengguna Facebook, Salina Sapuan, turut berkongsi langkah keselamatan penting untuk diamalkan:
- Jangan bermain dengan safety brush di tepi eskalator.
- Jangan biarkan tali kasut yang terjuntai, ia boleh tersangkut.
- Jangan berdiri terlalu tepi, terutama jika memakai selipar getah. Berdirilah dalam garisan kuning.
- Jika memakai kain labuh seperti saree atau baju kurung, angkat sedikit sebelum sampai ke hujung eskalator.
- Jika turun eskalator, berdiri di hadapan dan pastikan stroller berada di belakang. Jangan bawa troli kedai di atas eskalator.
- Jika membawa beg beroda besar, pegang dengan kemas agar tidak menggelungsur terkena orang lain.
“Banyak kes yang kami pernah handle sebelum-sebelum ini. Jadi, ini saya kongsikan berdasarkan pengalaman,” tulis Salina.
Baca juga: 6 Racun ‘Silent Treatment’ Bila Suami Isteri Bergaduh, Diam Tanda Setuju Dah Tak Boleh Pakai!
