Malaysia terus mencatat momentum positif dalam industri pelancongan apabila merekodkan lebih 10.6 juta ketibaan pelancong antarabangsa bagi suku pertama tahun 2026 sekali gus menjadi pencapaian tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mac.
INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA RAIH 10.6 JUTA PELAWAT ANTARABANGSA

Foto: Gemini AI
Perkembangan memberangsangkan itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang memaklumkan Malaysia menerima sebanyak 10,647,200 pelawat antarabangsa sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, selain mengatasi rekod sebelumnya iaitu 10,102,972 ketibaan yang dicatat pada 2025.
Menurut beliau, sebelum pandemik Covid-19, Malaysia tidak pernah melepasi angka 10 juta pelawat dalam suku pertama tahun.
Sebagai perbandingan, negara hanya merekodkan sekitar 9 juta ketibaan pelancong bagi tempoh sama pada tahun 2019.
Beliau berkata, lonjakan kali ini oleh permintaan perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, khususnya daripada pelancong dari China, selain pertambahan sambungan penerbangan antarabangsa ke Malaysia.
Malah, Februari 2026 turut mencipta sejarah tersendiri apabila Malaysia merekodkan ketibaan pelancong antarabangsa tertinggi pernah dicapai dalam tempoh sebulan iaitu sebanyak 3,472,557 orang selain ini merupakan kali pertama jumlah pelawat bulanan melepasi angka tiga juta.
Pelancong China Jadi Penyumbang Utama

Foto: Gemini AI
Sepanjang musim Tahun Baharu Cina lalu, syarikat penerbangan seperti China Eastern Airlines dan Shanghai Airlines meningkatkan laluan penerbangan antara Malaysia dan China daripada 82 kepada 106 laluan, dengan keseluruhan 424 penerbangan direkodkan sepanjang musim perayaan tersebut.
Situasi itu membantu membawa masuk seramai 604,675 pelawat dari China ke Malaysia.
China muncul sebagai pasaran pelancongan dengan pertumbuhan paling tinggi apabila jumlah ketibaan meningkat 25.2 peratus berbanding tahun lalu, menyumbang tambahan sekitar 280,000 pelawat.
Selain China, Australia turut merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.4 peratus.
Dalam masa sama, sebanyak 12 pasaran utama pelancongan berjaya menyumbang lebih 100,000 pelancong masing-masing sepanjang suku pertama tahun ini.
Pelancong Eropah Cecah Rekod Baharu
Malaysia turut mencipta satu lagi pencapaian apabila jumlah pelancong dari rantau Eropah melepasi 500,000 orang buat pertama kali dalam sejarah bagi tempoh suku pertama tahun.
Menurut beliau, kementerian kini memberi tumpuan kepada pasaran Eropah memandangkan pelancong dari rantau tersebut lazimnya tinggal lebih lama di Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan perbelanjaan pelancongan negara.
Antara negara Eropah yang mencatat pertumbuhan tertinggi termasuk Turki dengan peningkatan 77.3 peratus, diikuti Ukraine sebanyak 35.3 peratus dan Poland sebanyak 23.7 peratus.
Bagaimanapun, Jerman menjadi satu-satunya pasaran utama Eropah yang merekodkan penurunan iaitu sebanyak 10.2 peratus.
Industri Pelancongan Terjejas Sedikit Akibat Konflik Timur Tengah
Walaupun prestasi keseluruhan sektor pelancongan negara kekal positif, beliau mengakui ketegangan geopolitik di Timur Tengah mula memberi kesan terhadap aliran pelancong menjelang penghujung Mac lalu.
Beliau berkata, gangguan bekalan bahan api dan perubahan laluan penerbangan telah meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan, sekali gus menyebabkan harga tiket lebih mahal serta beberapa pembatalan penerbangan.
Rantau Timur Tengah mencatat penurunan paling ketara iaitu sebanyak 27.2 peratus, diikuti Asia Selatan dan Afrika Utara masing-masing menurun 6.7 peratus dan 8.4 peratus.
Namun begitu, beliau menyifatkan prestasi keseluruhan suku pertama tahun ini sebagai sesuatu yang “menggalakkan” apabila enam daripada sembilan rantau pelancongan utama masih mencatat pertumbuhan positif.
Dalam usaha memperkukuh sektor pelancongan negara menjelang Visit Malaysia 2026, Malaysia turut memperluaskan sambungan penerbangan antarabangsa.
Sebanyak 20 laluan antarabangsa baharu mula beroperasi sepanjang suku pertama tahun ini, melibatkan 12 syarikat penerbangan yang menambah 95 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke Malaysia.
Baca juga: Pelajar Tingkatan 4 & 5 Dari Keluarga B40 Bakal Nikmati Lesen Motosikal Percuma Menerusi MyB2S
Sumber: Malaymail
FT Images: Gemini AI
