Insiden penipuan iklan palsu menggunakan (AI) semakin membimbangkan apabila ia melibatkan individu berusia yang mudah percaya kepada kandungan video yang kelihatan meyakinkan.
Terbaharu, tular kisah seorang warga emas dari Perlis yang sanggup datang jauh ke sekolah Ustaz Wadi Annuar kerana menyangka beliau menjual ubat sakit mata seperti yang dipaparkan dalam sebuah video iklan.
Baca juga: Pempengaruh Faiz Aizif Dijemput Rasmi Majlis Anugerah Sekolah, Siap Belanja Tablet Untuk Pelajar!
IKLAN PALSU GUNA AI, NENEK PERCAYA USTAZ WADI ANNUAR JUAL UBAT MATA

Menurut beliau, nenek itu benar-benar percaya bahawa video tersebut adalah rakaman asli daripada Ustaz Wadi, sedangkan ia sebenarnya dihasilkan sepenuhnya oleh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan teknologi AI.
Kejadian ini nyata menyentuh hati kerana ia memperlihatkan bagaimana golongan penipu sanggup mengambil kesempatan terhadap warga emas yang mudah terpedaya.
“Nenek itu memberitahu bahawa dia percaya video iklan yang dibuat dengan AI itu adalah benar-benar daripada Ustaz, padahal ia palsu.
“Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah. Selain itu, ramai juga yang menghubungi Ustaz Wadi untuk mengadu bahawa produk seperti buah aprikot yang mereka beli tidak sama langsung dengan apa yang kononnya dipromosikan,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Ustaz Wadi turut menerima banyak mesej daripada individu lain yang mendakwa mereka membeli produk seperti buah aprikot selepas menonton video yang kononnya memaparkan beliau mempromosikannya. Namun, produk yang diterima tidak sama langsung dengan apa yang digambarkan dalam iklan tersebut.
“Mereka terpedaya dengan video yang nampak seolah-olah Ustaz sendiri bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air Nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya. Teknologi AI lip-sync digunakan supaya gerakan bibir kelihatan selari dengan ucapan, menjadikan video itu nampak asli,” jelasnya.

Ustaz Wadi menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjual, mengendors atau terlibat dengan mana-mana promosi produk tersebut. Ada produk yang memang wujud dan dihantar kepada pembeli, namun kaitan dirinya dalam iklan itu adalah sepenuhnya palsu dan direka oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi Ustaz Wadi Annuar sebelum mempercayai sebarang iklan, terutama yang melibatkan kesihatan atau pembelian produk.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbuatan menipu dan memanipulasi orang lain tidak membawa apa-apa keberkatan, malah hanya menganiaya mereka yang tidak bersalah.
Pihak yang terlibat diseru menghentikan perbuatan itu segera dan menggunakan kemahiran mereka untuk tujuan yang bermanfaat sahaja.
Baca juga: Nama Graduan UiTM, Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya Jadi Tumpuan
Sumber: Facebook Ustaz Wadi Annuar
