Pengedar tempatan jenama kosmetik antarabangsa yang terlibat dalam kontroversi iklan mengelirukan akhirnya mendapat kelulusan untuk menjual semula produk mereka selepas rayuan diterima pihak berkuasa.
Namun, mereka tidak boleh berasa terlalu selesa kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan amaran tegas terhadap sebarang kesalahan berulang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa dua pengedar produk ini telah diberikan amaran rasmi. Sekiranya kesilapan sama berulang, ‘lesen’ penjualan produk itu akan serta-merta ditarik balik tanpa sebarang notis.
Menurutnya, kedua-dua pengedar yang mengimport dan menjual produk buatan China ini telah mengemukakan surat rayuan pada 10 Februari lalu selepas Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengeluarkan surat amaran yang mencadangkan pembatalan notifikasi produk tersebut. Pembatalan ini bermaksud produk berkenaan tidak lagi boleh dijual di pasaran tempatan.
Iklan Mengelirukan Punca Tindakan Tegas
Isu ini timbul selepas iklan yang dipaparkan memberi gambaran seolah-olah larutan pengelupasan kulit berwarna merah dan krim pelindung matahari jenama tersebut boleh dimakan. Ini mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan dianggap satu pelanggaran serius terhadap peraturan pengiklanan kosmetik.
“Surat amaran telah dikeluarkan pada 31 Januari lalu, memberi tempoh 14 hari kepada pemegang notifikasi untuk memberikan maklum balas. Jika gagal, hak mereka untuk menjual produk ini akan dibatalkan,” kata Dr Dzulkefly.
NPRA Kekal Tegas, Pemantauan Berterusan
Selepas semakan lanjut, NPRA mendapati bahawa iklan terbabit telah ditarik balik sebelum tarikh akhir 14 Februari. Pengedar juga mendakwa bahawa iklan serta hantaran di TikTok itu dibuat oleh duta mereka dan di luar kawalan syarikat.
Walaupun rayuan telah diterima, NPRA tetap memberi amaran keras bahawa kesilapan ini tidak boleh berulang. Jika terdapat pelanggaran yang sama di masa hadapan, tindakan lebih tegas akan diambil, termasuk pembatalan segera notifikasi tanpa sebarang notis.
Dr Dzulkefly menegaskan bahawa NPRA akan terus memantau halaman media sosial jenama tersebut serta laman web berkaitan bagi memastikan tiada lagi pelanggaran yang boleh membahayakan pengguna.
Tambahnya lagi, “Pemantauan berterusan terhadap iklan kosmetik akan dijalankan bagi memastikan produk yang dinotifikasi mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.”
