Pulau Langkawi perlu terus dibangunkan berasaskan identiti dan keistimewaannya sendiri, tanpa cuba meniru destinasi pelancongan terkenal lain seperti Phuket atau Bali.
Perkara itu ditegaskan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu pulau peranginan ikonik negara itu terus dipelihara sebagai aset strategik negeri dan negara demi menjamin pembangunan yang mampan serta memberi manfaat kepada ekonomi Kedah.
Baca juga: Gadis Luah Sedih Ibu Ayah Tak ‘Wish Birthday’, Respon TokTi Minta Tukar Persepsi Tentang Hari Lahir
PULAU LANGKAWI BUKAN PHUKET ATAU BALI

Menurut baginda, pembangunan Langkawi perlu mengekalkan keunikan alam semula jadi dan warisan yang menjadi kekuatan utama pulau tersebut.
“Beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya seperti Phuket atau Bali.
“Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan, atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.
Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” jelasnya.
Baginda menyampaikan titah tersebut ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Pengurniaan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Negeri Kedah Tahun 2026 yang berlangsung di Istana Anak Bukit.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan dapat memberikan kerjasama yang lebih erat kepada kerajaan negeri, khususnya dalam urusan pentadbiran berkaitan pembangunan dan pengurusan unsur nadir bumi (REE).

Baginda menegaskan bahawa hak kerajaan negeri untuk mengurus serta meneroka sumber hasil bumi perlu dihormati dan tidak wajar terhalang oleh sebarang isu pentadbiran.
Menurut baginda, kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting supaya potensi ekonomi yang dimiliki Kedah dapat dimanfaatkan sepenuhnya, tanpa dipengaruhi perbezaan pandangan politik yang akhirnya merugikan rakyat dan negeri.
Selain itu, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap kelewatan beberapa projek infrastruktur penting di Kedah, termasuk Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum disiapkan selepas bertahun-tahun.
Baginda berpandangan kelewatan projek berkenaan memberi kesan besar kepada penduduk setempat kerana masalah banjir terus berulang setiap kali hujan lebat.
Baca juga: Tengku Natasya & Tengku Arif Bendahara Dikurniakan Puteri, Tengku Nadine Amina Zahra Jadi Tumpuan
Sumber: Berita Harian
