Euforia Bola 2026
Asuh

“Kita Satu Malaysia” – Kisah Ibu Cina Hantar Anak Ke Tadika PASTI Buat Ramai Tersentuh, Fasih Bahasa Melayu!

tadika PASTI

Perkongsian seorang ibu berbangsa Cina di TikTok mencuri perhatian ramai selepas dia menceritakan pengalaman menghantar anak lelakinya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) atau tadika PASTI di kampung halamannya di Chaah, Segamat, Johor.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, adakah boleh kanak-kanak berbangsa lain masuk ke tadika ini?

Baca juga: “Bukan Sekadar Taska, Ini Dapur Kasih Sayang” – Owner Taska Masak Sendiri Untuk Anak Jagaan, Menu Sihat & Sedap Licin Pinggan!

IBU BANGSA CINA HANTAR ANAK KE TADIKA PASTI, DAPAT RESPON POSITIF ORANG RAMAI

tadika PASTI

Menerusi hantaran di akaun TikTok @joeychan427, wanita itu berkongsi keputusan menghantar anaknya yang mesra dipanggil Kangkang ke tadika berasaskan Islam, meskipun dia sendiri bukan beragama Islam.

Menurut ibu muda itu, faktor utama pemilihannya adalah kerana lokasi tadika yang dekat, selain suasana pembelajaran yang selesa serta layanan guru-guru yang sangat baik terhadap kanak-kanak.

“Bulan November tahun lepas, saya balik dari Perak ke Johor sebab ada urusan rumah. Kangkang masa tu umur dua tahun setengah, jadi saya cari tadika untuk dia belajar sementara. Saya tengok PASTI ni sesuai, cikgu-cikgu pun baik, jadi saya letakkan dia di sini,” kongsinya.

Tak Ambil Hati Komen Negatif, Anggap Peluang Belajar Budaya

tadika PASTI

Walaupun menerima beberapa mesej negatif daripada segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya menghantar anak ke tadika Islam, ibu ini memilih untuk tidak mengambil hati.

Sebaliknya, dia melihat pengalaman tersebut sebagai satu peluang berharga untuk anaknya mengenali budaya dan persekitaran yang berbeza sejak kecil.

“Dulu saya sendiri pernah belajar Tingkatan Enam di Chaah dan saya satu-satunya pelajar Cina dalam kelas. Saya rasa bagus kalau anak saya pun boleh belajar budaya lain. Kita satu Malaysia, kan?” katanya.

Lebih menggembirakan, ibu berkenaan turut berkongsi perubahan positif yang ditunjukkan oleh Kangkang selepas hampir tiga bulan bersekolah di PASTI.

Antaranya, Kangkang kini sudah boleh menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu seperti “ibu”, “duduk”, serta nombor “satu, tiga, empat”. Malah, ada kalanya dia turut menyanyikan lagu kanak-kanak Melayu. Bukan itu sahaja, Kangkang juga sudah pandai bersalaman dengan ibunya seperti apa yang dipraktikkan di tadika.

Perkembangan itu nyata membuatkan ramai netizen tersenyum dan memuji keberanian serta keterbukaan si ibu. Dalam ruangan komen, rata-rata netizen memberikan sokongan dan kata-kata positif, sekali gus menyentuh hati ibu berkenaan.

“Saya sangat berterima kasih atas semua komen baik. Maaf kalau tak sempat balas satu-satu, tapi semua komen saya baca,” luahnya dengan penuh rasa syukur.

Difahamkan, Kangkang akan kembali ke Perak pada Februari sempena sambutan Tahun Baharu Cina, manakala ibunya pula akan kembali bekerja sebagai seorang guru bermula Mac ini.

Walaupun terpaksa berjauhan, ibu tersebut berjanji akan terus mengunjungi tadika berkenaan setiap kali pulang ke Chaah dan berkongsi perkembangan anaknya di media sosial.

“Saya akan rindu sangat tadika pertama Kangkang ni. Lepas ni kalau balik Chaah, saya pasti bawa dia jumpa cikgu dan kawan-kawan PASTI. Walau saya di mana pun, saya akan terus kongsi gambar dan video Kangkang,” ujarnya.

Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi bukti bahawa perpaduan dan toleransi boleh bermula sejak usia kecil, asalkan kita saling menghormati dan terbuka menerima perbezaan.

@joeychan427Good night all🫶🏻☺️♬ original sound – Zhu Er Chan

Baca juga: “Bukan Kerana Tak Sayang”- Ibu Tunggal Terpaksa Tinggal Anak 3 Tahun Sendirian Di Rumah Pergi Kerja, Pantau Guna CCTV

Sumber: Tiktok @joeychan427

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×