Dalam era di mana kesedaran mengenai kesihatan semakin meningkat, aktiviti seperti zumba semakin popular bukan sahaja dalam kalangan lelaki, bahkan wanita Muslimah juga.
Namun timbul persoalan penting, bolehkah wanita Muslimah menyertai Zumba secara terbuka di kawasan awam?
Baca juga: Jangan Tunggu Sakit Baru Kalut, Ini 7 Surah ‘Hebat’ Wajib Hafal Sebelum Meninggal Dunia
Wanita Muslimah Nak Menari Dan Zumba Di Khalayak Ramai? Ini Penjelasan Ustazah Asma’

Foto: FB
Tidak dinafikan, menjaga kesihatan adalah tuntutan Islam kerana niat untuk sihat adalah murni. Namun dalam Islam, niat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah. Aktiviti seperti Zumba apabila dilakukan di tempat terbuka seperti taman, dataran atau kawasan awam meskipun dengan alasan berpakaian longgar, hanya disertai wanita, atau tiada niat menggoda tetap perlu dinilai dari sudut syariat.
Zumba adalah senaman berasaskan tarian moden. Ia melibatkan pergerakan tubuh yang rancak, berirama dan sering menyerupai tarian. Dalam suasana terbuka, ia boleh menarik perhatian lelaki ajnabi, walaupun tidak ada interaksi fizikal. Rentak muzik yang rancak dan pergerakan yang berirama menjadikan ia satu bentuk raqs (tarian) dalam istilah Fiqh.
Kamus Mu‘jam al-Wasith mendefinisikan “ar-Raqshu” sebagai gerakan tubuh mengikut irama muzik atau nyanyian. Ini seiring dengan pandangan ulama:
“Wajib bagi wanita menjauhi semua sebab fitnah. Antara fitnah paling besar ialah menari di hadapan lelaki bukan mahram – ia adalah HARAM secara jelas.” – al-Lajnah ad-Daimah Lil Buhus wal Ifta’
“Tarian wanita di hadapan lelaki bukan mahram adalah HARAM menurut ijmak ulama, kerana ia membangkitkan syahwat, menimbulkan fitnah serta menjatuhkan kehormatan.”– Syeikh Abdul Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah
Fitnah Pandangan dan Rakaman Tanpa Izin

Foto: FB
Zaman teknologi hari ini, walaupun tiada lelaki dalam kalangan peserta, aktiviti di kawasan terbuka sangat mudah diperhatikan, dirakam dan dikongsi di media sosial tanpa izin. Ia membuka ruang kepada pandangan syahwat, penyebaran fitnah, dan kehilangan maruah wanita Muslimah.
Sabda Rasulullah SAW:
“Wanita itu aurat. Apabila dia keluar dari rumahnya, syaitan akan menghiasinya.”- (HR al-Tirmizi – hadis hasan sahih)
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan bahawa pergerakan tubuh wanita juga perlu dijaga kerana ia boleh membangkitkan syahwat, walaupun aurat zahir ditutup.
Apabila aktiviti seperti Zumba dilakukan secara terbuka:
- Pergerakan menyerupai tarian
- Muzik rancak
- Mudah diperhatikan lelaki ajnabi
- Risiko dirakam & tular tanpa izin
Maka ia bukan lagi sekadar senaman, tetapi menjadi pintu kepada fitnah dan maksiat. Ia mengurangkan rasa malu dan membuka ruang syahwat.
Islam tidak menghalang wanita untuk bersenam, tetapi ia perlu dibuat dengan batas syariat. Berikut beberapa cadangan selamat:
- Zumba di tempat tertutup khas untuk wanita sahaja
- Pakaian longgar, tidak nipis & tidak membentuk tubuh
- Tidak dirakam atau dikongsi ke media sosial
- Jurulatih wanita yang faham adab & batas syariah
- Gerakan sederhana sahaja – elak gaya menggoda
- Boleh dilakukan di hadapan suami – bahkan berpahala
- Amaran Rasulullah SAW
Rasulullah SAW memberi amaran tegas kepada wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang, menggoda dan mengajak orang lain kepada maksiat:
“Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau syurga, padahal baunya dapat dihidu dari jarak yang sangat jauh.”– (HR Muslim)
Kesimpulannya, jangan kerana nak sihat fizikal, kita terlupa pandangan Allah terhadap setiap gerak-geri kita. Wallahua‘lam.
Baca juga: Nampak Remeh Tapi Rupanya ‘Port’ Lepak Syaitan, Ini Sebab Elak Duduk Bawah Teduh & Matahari Serentak
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
