Euforia Bola 2026
Nur

Solat Dalam Gelap, Sah Atau Tidak? Hukum Sebenar Solat Tanpa Lampu Yang Ramai Terlepas Pandang

solat dalam gelap

Pernah tak apabila nak solat, kita terfikir “Perlu ke buka lampu dulu? Kalau solat dalam gelap sah ke tidak?” Ada yang sengaja matikan lampu kerana rasa lebih tenang dan ada juga yang menganggap ini merupakan amalan zuhud.

Hakikatnya, isu ini sering timbul kerana ramai yang keliru antara syarat sah solat dalam gelap dengan perkara sampingan. Mari kita baca penjelasan dari Mufti.

Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?

Solat Dalam Gelap Dianggap Lebih Tenang, Tapi Sah Atau Tidak?

solat dalam gelap

Foto hiasan.

Jawapan dari persoalan yang ditanya kepada Mufti Wilayah Persekutuan adalah SAH. Tiada dalil yang mensyaratkan solat mesti dilakukan dalam keadaan terang kerana apa yang penting, syarat sah solat tetap dipenuhi:

  • Berwuduk dengan sempurna.
  • Menutup aurat.
  • Menghadap kiblat.
  • Niat yang betul.
  • Rukun solat dilaksanakan dengan yakin.

Selagi semua ini dijaga, solat anda tetap diterima walaupun dalam keadaan gelap. Solat dalam keadaan gelap adalah dibolehkan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat kerana pada ketika itu rumah-rumah masih tidak mempunyai lampu. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata:

‌كُنْتُ ‌أَنَامُ ‌بَيْنَ ‌يَدَيْ ‌رَسُولِ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌وَرِجْلَايَ ‌فِي ‌قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي، فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا، قَالَتْ: وَالبُيُوتُ يَوْمَئِذٍ لَيْسَ فِيهَا مَصَابِيحُ

Maksudnya: Aku tidur di samping Rasulullah SAW dan kakiku berada pada kiblatnya (tempat sujud). Sekiranya Baginda ingin sujud, Baginda menyentuhku lalu aku melipatkan kaki. Kemudian apabila Baginda bangun, aku meluruskan semula kedua-dua kaki. Pada ketika itu, tiada lampu di rumah-rumah. (Riwayat al-Bukhari)

Apa Yang Perlu Diberi Perhatian?

Namun, walaupun sah, ada beberapa perkara yang patut dipertimbangkan sebelum memilih untuk solat tanpa lampu:

1. Kepastian Pergerakan : Jika gelap sangat sampai anda tidak yakin sudah rukuk atau sujud dengan sempurna, itu boleh menjejaskan kesempurnaan solat.

2. Bacaan Al-Quran : Jika anda membaca dari mushaf, lampu diperlukan. Kalau hafal surah, tiada masalah.

3. Keselamatan : Solat berjemaah dalam gelap mungkin berisiko, terutama jika saf rapat atau ruang sempit. Boleh jadi ada yang terlanggar atau tersadung.

4. Niat Yang Benar : Jangan jadikan gelap sebagai cara ‘menunjuk zuhud’. Amalan riak boleh membatalkan pahala solat.

5. Kebersihan Tempat Solat : Jika terlalu gelap sampai tak dapat pastikan lantai bersih daripada najis, lebih baik pasang lampu.

Kesimpulannya, solat dalam gelap tetap sah, asalkan rukun dan syarat sah solat dipenuhi. Namun, jika kegelapan mengganggu fokus, menyebabkan keraguan, atau membahayakan diri dan orang lain, sebaiknya pasang lampu atau gunakan pencahayaan yang secukupnya.

solat dalam gelap

Foto: freepik

Akhirnya, tujuan solat adalah untuk khusyuk dan mendekatkan diri kepada Allah. Jadi pilihlah suasana yang membantu hati lebih tenang, sama ada dalam gelap atau terang.

Baca juga: Ini Hukum Jika TERSENTUH Kemaluan Lepas Wuduk, Ramai Tak Sedar & Mungkin Selalu Buat!

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×