Istilah ‘kelab halal’ menjadi bualan hangat warga maya selepas satu video memaparkan sekumpulan anak muda menari lelaki dan perempuan secara bercampur tular di media sosial baru-baru ini.
Kenyataan seorang gadis yang terlibat dalam video tersebut di platform Threads turut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk rasa kurang selesa dalam kalangan masyarakat.
Baca juga: Isteri Sengsara Dipukul Suami Durjana Hingga Keguguran, Berhak Dapat Pampasan ‘Ghurrah’ Dalam Islam!
KENYATAAN ‘KELAB HALAL’ SEORANG GADIS TERIMA KECAMAN

Tangkap layar dari Threads.
Dalam penjelasannya, gadis berkenaan cuba menerangkan situasi sebenar dan menafikan dakwaan bahawa ia melibatkan aktiviti tidak bermoral.
“Dua tiga hari ini banyak orang post pasal video ini. Meh saya terang sikit, saya yang pakai tudung pegang phone itu. Dekat sini macam halal club lah. Disediakan air biasa, no alcohol allowed. So, jangan bitter sangat. Open minded sikit boleh?” ujarnya.
Kenyataan tersebut bagaimanapun menerima pelbagai respons daripada warga maya, termasuk yang menyuarakan rasa tidak bersetuju dengan penggunaan istilah tersebut dalam konteks aktiviti hiburan melibatkan percampuran lelaki dan wanita.
Reaksi warga maya pelbagai, ada yang kritik penggunaan istilah
Susulan video dan kenyataan tersebut, ruangan komen dipenuhi dengan pelbagai pandangan daripada warga maya. Ada yang menyifatkan penggunaan istilah ‘kelab halal’ sebagai mengelirukan dan tidak sesuai digunakan.
Salah seorang pengguna media sosial dilaporkan memberi respons keras terhadap kenyataan itu, dengan mempertikaikan konsep halal dalam situasi yang melibatkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta aktiviti menari.
Perdebatan tersebut menunjukkan sensitiviti masyarakat terhadap isu berkaitan agama dan norma sosial, khususnya apabila melibatkan istilah yang mempunyai makna besar dalam konteks hukum syarak.

Dr. Ahmad Sanusi tampil beri pandangan tentang batas pergaulan
Dalam perkembangan berkaitan, ahli akademik yang juga pendakwah, Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, turut berkongsi pandangan di Facebook berhubung isu tersebut menerusi penulisan bertajuk “Menjauhi Tempat Kemungkaran”.
Menurut beliau, Islam sangat menekankan batas pergaulan antara lelaki dan wanita bagi mengelakkan kesan negatif yang tidak dijangka.
Dr. Ahmad Sanusi turut merujuk kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita selepas selesai solat.
Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW dilihat duduk seketika selepas selesai solat, bagi memberi ruang kepada wanita untuk beredar terlebih dahulu. Tindakan ini difahami sebagai langkah bagi mengelakkan pertembungan atau percampuran antara lelaki perempuan yang mungkin berlaku setelah selesai solat.
Al-Bukhari merekodkan:
عن أم سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ يَسِيرًا قَبْلَ أَنْ يَقُومَ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَأُرَى وَاللَّهُ أَعْلَمُ أَنَّ مُكْثَهُ لِكَيْ يَنْفُذَ النِّسَاءُ قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُنَّ مَنْ انْصَرَفَ مِنْ الْقَوْمِ
“Daripada Ummu Salamah, beliau berkata, Rasulullah ﷺ akan duduk seketika setelah memberikan salam setelah selesai solat. Para wanita akan bangun setelah Baginda ﷺ memberi salam.” (HR al-Bukhari)
Dr. Ahmad Sanusi Azmi turut menjelaskan bahawa jika dalam suasana ibadah di masjid sekalipun terdapat usaha untuk menjaga batas pergaulan, maka lebih-lebih lagi dalam suasana hiburan yang sempit, gelap dan melibatkan aktiviti menari.
Di mana, risiko berlakunya perkara tidak diingini adalah lebih tinggi.
Beliau juga menyifatkan keadaan ini sebagai sesuatu yang membimbangkan apabila segelintir anak muda menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang dibenarkan tanpa menilai dari sudut syariat.
Sumber: Dr. Ahmad Sanusi
FT Image: Dr. Ahmad Sanusi
