Ramai yang suka membela burung kerana tertarik dengan kicauan merdu dan warna bulunya yang cantik. Namun, ada juga yang berasa kasihan melihat burung dikurung dalam sangkar kerana seolah-olah tidak bebas menikmati langit biru seperti sepatutnya.
Isu ini turut menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah membela burung sebenarnya dibenarkan dalam Islam? Terseksakah ia jika tak dilepaskan?
Baca juga: Hukum Lelaki Mati Pucuk Berkahwin, Bimbang Tak Dapat Penuhi Keperluan Batin Isteri
HUKUM MEMBELA BURUNG
Harus membela haiwan
Dalam satu ceramah yang dikongsikan di YouTube, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa hukum membela haiwan seperti burung adalah harus, selagi tidak memudaratkan atau menzalimi haiwan tersebut.
Menurutnya, tidak salah untuk seseorang memiliki burung peliharaan asalkan ia dijaga dengan baik, diberi makanan, minuman serta tempat yang selamat dan sesuai.
Namun, katanya, apa yang sering menjadi persoalan dalam kalangan ulama bukanlah soal burung itu sendiri, tetapi perbuatan mengurungnya. Burung merupakan haiwan yang sifat semula jadinya adalah untuk terbang bebas di udara.
Jika dikurung dalam sangkar yang terlalu sempit hingga menafikan fitrah itu, maka perbuatan tersebut boleh dianggap menzalimi haiwan meskipun diberi makan dan minum secukupnya.
Situasi dibolehkan
Ustaz Azhar turut menjelaskan bahawa mengurung burung dibenarkan dalam keadaan tertentu, contohnya untuk sementara waktu sebelum ia disembelih dan dimakan atau jika ia perlu dirawat kerana cedera.
Dalam kes seperti ini, ia tidak dianggap zalim kerana ada sebab yang munasabah untuk mengurungnya.
Situasi makruh

Gambar: wirestock
Namun, jika seseorang itu mempunyai cukup keperluan hidup dan hanya suka-suka mengurung burung dalam sangkar kecil tanpa tujuan tertentu, hukumnya menjadi makruh.
Ia tidak sampai haram, tetapi tidak digalakkan kerana seolah-olah menafikan hak semula jadi burung untuk terbang.
Situasi sunat
Sebaliknya, kata beliau lagi, hukumnya boleh menjadi sunat jika seseorang membela burung yang dilepaskan terbang bebas atau menyediakan sangkar yang luas supaya burung itu masih boleh bergerak dan terbang di dalamnya.
Ia dianggap satu bentuk ihsan terhadap makhluk ciptaan Allah, kerana tidak menafikan sifat asal haiwan tersebut.
Baca juga: Dek Perangai Taksub Selebriti, Sanggup Doa Perkara Tak Baik Pada Perkahwinan Orang, Ini Hukumnya!
Kesimpulan
Islam tidak melarang umatnya untuk menyayangi atau membela haiwan termasuk burung, asalkan tidak dilakukan dengan cara yang menyeksa atau menzalimi.
Maka, bagi pencinta burung, pastikan sangkar yang digunakan luas, selamat dan memberi ruang untuk si kecil berbulu itu menikmati kehidupannya dengan tenang.
Baca juga: Anak Penyanyi Popular Beri Kenyataan “Buka Tudung Rasa Lagi Dekat Dengan Allah,” Ini Jawapan UAI!
Sumber: Ustaz Azhar Idrus Official
FT Image: wirestock

