Euforia Bola 2026
Nur

Viral ‘Mandi Sunat Sebelum Sambut Ramadan’, Betul Ke Sunnah Nabi SAW Atau Sekadar Amalan Kosong?

mandi sunat sebelum ramadan

Baru-baru ini, tular satu hantaran yang mendapat perhatian, selepas satu page di media sosial berkongsi amalan mandi sunat sebelum Ramadan sehingga menerima 2.3 ribu perkongsian dan 3.2 ribu tanda suka.

Amalan mandi sebelum memasuki bulan puasa ini menjadi topik perbincangan kerana ramai yang ingin memastikan ia benar-benar mempunyai sandaran dalam ajaran Islam.

Baca juga: Hukum Non Muslim Guna Kalimah Islam Seperti “Alhamdulillah”, Ini Apa Yang Boleh & Tak Boleh Dari Mufti WP

HUKUM MANDI SUNAT SEBELUM RAMADAN

mandi sunat sebelum ramadan

Gambar hiasan: Freepik

Dalam satu video oleh pendakwah Malaysia, Syihabudin Ahmad bertajuk “Mandi Sebelum Ramadhan? Amalan Hybrid Dari Syiah? Tapi Dah Viral! Sunnah vs Bidaah dah ni!”, beliau menjelaskan asal usul amalan mandi sebelum Ramadan dan menekankan bahawa ia bukanlah amalan yang ditetapkan secara khusus dalam ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam videonya, Syihabudin Ahmad menjelaskan:

  • Amalan mandi sebelum Ramadan diamalkan oleh sebahagian umat Islam.
  • Hasil semakan beliau menunjukkan amalan tersebut bukan berasal dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi lebih berkait dengan amalan dalam kalangan Syiah.
  • Penekanan beliau adalah supaya umat Islam memahami asal usul amalan ini sebelum menjadikannya rutin atau menyebarkannya sebagai sunnah.

“Bukti daripada kenyataan saya ini dapat ditemui dalam beberapa kita ulama Syiah, seperti Kitab al Kafi yang merupakan sumber utama dalam panduan asas hadis mazhab Syiah ditulis oleh Muhammad bin Yaakob al Kulaini Al Razi, yang dikenali dengan nama al Kulaini.

“Dalam Kitab al Kafi, terutama dalam bahagian Kitab al-Hujjah terdapat rujukan yang menunjukkan asal usul amalan mandi sebelum Ramadan ini berasal dari tradisi Syiah.

“Bahkan dalam kitab Syiah yang bernama al Muktabar dinyatakan bahawa amalan ini adalah makruf daripada mazhab Syiah.

“Dalam kitab Raudhul Jinan menyatakan bahawa telah ijmak pula perkara berkenaan di sisi ulama mazhab Syiah.

“Oleh itu, kajian mendalam dan perbandingan antara beberapa kitab Syiah menegaskan bahawa amalan mandi sebelum Ramadan telah menjadi tradisi dan praktikal ibadah dalam masyarakat Syiah. Bukan ahli sunnah Wal Jamaah,” jelas Syihabudin Ahmad dengan lanjut.

Adakah mandi sebelum Ramadan wajib atau sunnah?

  • Puasa Ramadan tidak memerlukan mandi tertentu sebelum memulakan puasa.
  • Mandi tersebut bukan rukun puasa dan tidak menjejaskan sahnya puasa jika tidak dilakukan.
  • Ia bukanlah sunnah khusus yang diriwayatkan Nabi SAW sebelum Ramadan bermula.

Ini bermakna mandi sebelum Ramadan lebih sesuai dikategorikan sebagai amalan umum untuk membersihkan diri secara lahiriah dan rohaniah, tetapi bukan wajib atau sunnah yang pasti.

Daripada Aisyah RAnha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.” (Riwayat Muslim, no. 1718)

Baca juga: Kadar Fidyah 2026 Lengkap Mengikut Negeri, Ini Cara Kira Yang Betul & Link Bayar Secara ‘Online’!

mandi sunat sebelum ramadan

Gambar hiasan: Drazen Zigic

Bezakan amalan baik dan sunnah khusus

Syihabudin Ahmad menekankan perbezaan antara:

  1. Amalan umum yang baik: bersuci dan membersihkan badan sebelum ibadah besar.
  2. Sunnah khusus dengan dalil: amalan yang dituntut dan dibuktikan melalui hadis sahih atau amalan para sahabat.

Mandi sebelum Ramadan boleh diamalkan bagi yang mahu, tetapi tidak wajar dianggap sebagai sunnah khusus atau wajib.

“Ulama ahli sunnah Wal Jamaah menekankan bahawa ibadah, termasuk mandi sebelum masuk Ramadan mestilah berdasarkan pada dalil yang jelas, dari al Quran dan hadis yang sabit. 

“Mereka menegaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberikan contoh yang sempurna di dalam menjalankan ibadah. Umat Islam perlu mengikuti contohnya dengan tepat.

“Tetapi tidak ada satu contoh pun daripada Baginda Nabi SAW yang mengisyaratkan sunat mandi sebelum Ramadan,” jelasnya lagi.

Hikmah mandi sebelum Ramadan

Walaupun bukan wajib, mandi sebelum Ramadan mempunyai beberapa hikmah jika dilakukan dengan niat yang betul:

  1. Membersihkan diri dari segi fizikal dan rohani sebelum memulakan ibadah puasa.
  2. Meluruskan niat untuk menyambut bulan Ramadan dengan kesungguhan.
  3. Memberi rasa segar dan tenang untuk menghadapi ibadah puasa pertama.

Namun, hikmah ini adalah persediaan diri dan bukan dalil sahih yang menetapkan ia sebagai amalan wajib atau sunnah khusus.

“Anda nak mandi, silakan mandi. Tetapi jangan sandarkan amalan khusus ibadah, pada perkara yang tidak dikhususkan oleh Baginda Nabi SAW.

“Tidak dilarang untuk mandi pada malam Ramadan, tetapi dilarang menyatakan wujud mandi sunat sebelum Ramadan,” ujar beliau.

Kesimpulan

Berdasarkan kupasan video Syihabudin Ahmad:

  1. Mandi sebelum Ramadan adalah pilihan, bukan kewajipan puasa.
  2. Ia bukan rukun puasa atau sunnah khusus Nabi SAW.
  3. Tidak melakukan mandi ini tidak membatalkan puasa dan tidak mengurangi pahala ibadah.

Penjelasan ini berfungsi sebagai panduan untuk memahami asal-usul amalan dan membezakan antara tradisi, sunnah dan amalan yang tidak bersandarkan dalil. Ramadan perlu disambut dengan ilmu dan kefahaman, bukan sekadar mengikut amalan viral.

Baca juga: Rasa Nak Nangis Tengok ‘Seat’ Motosikal Penuh Cakaran Kucing Jiran, UAI Kata WAJIB Ganti Rugi!

Sumber: YouTube Syihabudin Ahmad

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×