Kisah kubur bertingkat di Pulau Pinang menjadi perhatian ramai selepas satu video tular di TikTok memperlihatkan kawasan perkuburan yang berbeza daripada kebiasaan.
Kebiasaannya, setiap pusara mempunyai satu batu nisan dengan maklumat jenazah yang dikebumikan. Namun, video dimuat naik oleh pengguna TikTok, Leena Hamid, menunjukkan beberapa batu nisan disusun dalam satu liang yang sama, sesuatu yang jarang dilihat oleh masyarakat umum.
KEWUJUDAN KUBUR BERTINGKAT BUAT RAMAI TERKEJUT!

Menurut perkongsian, lokasi itu merupakan Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, bersebelahan Masjid Jamek Hashim Yahya, Pulau Pinang.
“Kami pun baru tahu. Arwah mak saudara kami dikebumikan dengan cara tindih pusara arwah mak dia. Difahamkan ini adalah tanah wakaf sejak zaman British lagi. Semua susur jalur keluarga disemadikan di tapak yang sama,” kata Leena.
Reaksi warga maya yang pertama kali melihat kubur bertingkat
Rata-rata netizen yang melihat video tersebut mengaku pertama kali mengetahui kewujudan kaedah perkuburan seperti itu.
Antara komen yang menarik perhatian:
- “Umur 30 tahun baru first time tengok.”
- “Maaf nak tanya (nada ingin tahu), kenapa ya orang buat macam ni? Boleh ke?”
- “Kalau dekat Penang, kebanyakan kubur bertindih sebab tak cukup tanah. Satu liang boleh digunakan semula selepas 10 tahun. Contohnya, nenek saya meninggal dulu, lepas 11 tahun ayah saya pula meninggal, jadi arwah ayah ditanam dalam liang sama. Kalau masih ada tulang, tulang itu akan dikumpul dan tanam sekali di sisi.”
- “Oh boleh ya macam ni. Yang saya tahu bayi meninggal dalam perut je boleh ditanam atas kubur keluarga. Tapi kalau macam ni senang anak cucu ziarah nanti.”
Walaupun kelihatan luar biasa bagi sesetengah orang, ramai juga yang bersetuju bahawa sistem kubur bertingkat ini ada hikmahnya.
Kaedah tersebut bukan sahaja menjimatkan ruang, malah memudahkan ahli keluarga menziarahi pusara kerana semua ahli keluarga disemadikan di lokasi yang sama.
Difahamkan, konsep ini telah lama diamalkan di Pulau Pinang, khususnya di tanah wakaf lama sejak zaman penjajahan British, bagi mengatasi isu kesesakan tanah perkuburan Islam di kawasan bandar.
Hukum kubur bertingkat

Berdasarkan portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum pembinaan kubur bertingkat adalah harus dan dibolehkan sekiranya terdapat keperluan mendesak, khususnya di kawasan bandar yang mengalami kekangan tanah perkuburan.
Kaedah ini turut diiktiraf oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan syarat ia dilaksanakan secara teratur, menghormati jenazah, serta mematuhi adab dan hukum pengebumian Islam.
Secara asasnya, Islam menuntut agar mayat dikuburkan dengan penuh penghormatan dan dalam liang tersendiri, namun jika berlaku darurat seperti kepadatan penduduk atau kekurangan tanah, maka pelaksanaan kubur bertingkat dianggap menepati prinsip syarak.
Ia bukan sahaja membantu mengatasi isu ruang, tetapi juga memastikan urusan fardu kifayah dapat dilaksanakan dengan baik tanpa menjejaskan maruah dan kehormatan si mati.
@miamayesamirza Replying to @syakina collection Ye betul.. kami pun baru tahu. Arwah mak saudara kami dikebumikan dengan cara tindih pusara Arwah Mak dia.. Difahamkan ini adalah tanah wakaf sejak zaman British lagi. Semua susur jalur keluarga disemadikan di tapak yg sama. ALFATIHAH 🤲🏻 family 786
Baca juga: Tak Busuk & Tak Mereput, Ini Fungsi Embalming Pada Mayat Non-Muslim, Juga Hukum Untuk Orang Islam
Sumber: TikTok @miamayesamirza / Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
FT Image: TikTok @miamayesamirza
