Persoalan sama ada ibu bapa dibenarkan menghantar anak ke kelas muzik, khususnya untuk belajar bermain piano, sering menjadi perbincangan panjang dalam masyarakat Muslim, terutama apabila ia dikaitkan dengan pendidikan awal kanak-kanak dan unsur hiburan yang dibimbangi melalaikan.
Isu ini turut diajukan seorang individu menerusi satu soalan yang bertanya, sama ada dibolehkan menghantar anak belajar bermain piano yang sekadar sebagai kemahiran kendiri, bukan untuk menjadi pemuzik serta tanpa unsur melalaikan.
Baca juga: Rasa Nak Nangis Tengok ‘Seat’ Motosikal Penuh Cakaran Kucing Jiran, UAI Kata WAJIB Ganti Rugi!
MENGHANTAR ANAK KE KELAS MUZIK
Perbahasan ulama tentang alat muzik
Dalam menjawab persoalan tersebut, YB Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri menjelaskan bahawa isu alat muzik bukan perkara baharu dan telah lama menjadi polemik antara ulama yang membenarkan dan yang berpandangan sebaliknya.
Kebanyakan tokoh ulama terdahulu berpandangan bahawa hukum bermain alat muzik adalah haram. Pandangan ini antaranya bersandarkan kepada hadith daripada Abu Malik al-Asy‘ariy R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.” Riwayat al-Bukhari (5590)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut:
Sabda Baginda ‘والمَعازِفَ’ adalah jamak daripada ma’zafah yang bermaksud alat-alat permainan untuk bersenang-senang. Al-Qurtubi menukilkan daripada al-Jauhari, bahawa al-Ma’azif adalah nyanyian. Namun yang terdapat dalam kitab al-Sihah karyanya, dikatakan bahawa ia adalah alat permainan untuk bersenang-senang.
Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya adalah bunyi alat-alat permainan itu. Sementara dalam kitab al-Hawasyi al-Dimyati disebutkan:”Al-Ma’azif adalah sejenis rebana dan selainnya yang dipukul. Nyanyian juga biasa disebut ‘uzf, dan semua permainan disebut ‘uzf.”
Dalam riwayat Malik bin Abu Maryam, disebut: ‘تَغْدُو عَلَيْهِمُ الْقِيَانُ وَتَرُوحُ عَلَيْهِمُ الْمَعَازِفُ’ (“Para penyanyi datang pada pagi hari kepada mereka, dan muzik datang di petang hari.”) (Lihat Fath al-Bari, 9/604)
Selain itu, terdapat juga hadith lain daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.”
Riwayat Abu Daud (3688), Ahmad (22900) dan Ibn Majah (4020). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.
Baca juga: Fakta Menarik Tentang ‘Buraq’, Makhluk Istimewa Tunggangan Rasulullah SAW Semasa Israk Mikraj

Gambar hiasan: Freepik
Pandangan berbeza dan sebab pengharaman
Walaupun begitu, dijelaskan bahawa dunia muzik mempunyai cabang yang sangat luas dan melibatkan pelbagai instrumen seperti piano, gitar, violin, cello, flute, trumpet dan drum. Dalam hal ini, para ulama menyebut bahawa lelaki dan wanita dibenarkan bermain duf iaitu sejenis gendang.
Beberapa pandangan ulama kontemporari turut dikemukakan, antaranya:
- Dr Ali Jum’ah, bekas Mufti Mesir, berpandangan bahawa alat muzik seperti piano dinilai berdasarkan suara dan kesannya; jika membawa kepada kebaikan maka harus, jika sebaliknya maka tidak harus.
- Syeikh Ahmad Mamduh Amin al-Fatwa Dar Ifta’ Misriyyah pula berpendapat alat muzik bertali bukanlah haram.
- Dr Majdi Asyur, Musytasyar Ilmi bagi Mufti Mesir, menyatakan bahawa muzik bergantung kepada kalam dan makna; jika baik diterima, jika buruk maka haram, apatah lagi jika disertai unsur keji atau minum arak.
Namun, terdapat juga pandangan ulama yang secara tegas mengharamkan penggunaan alat muzik selain gendang. Antara mereka ialah al-Imam al-Qurtubi, Abu Tayyib al-Tabari, Ibn al-Salah, Ibn al-Qayyim, Ibn Rejab al-Hanbali dan Ibn Hajar al-Haithami. Islamwebnet turut menyebut bahawa muzik selain duf adalah haram secara mutlak di sisi kebanyakan ulama muktabar.
Antara hujah utama mereka ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman: 6)
Ayat ini ditafsirkan oleh para sahabat seperti Abdullah bin Mas’ud, Ibnu Abbas, Jabir bin Abdullah, Mujahid dan Ikrimah sebagai merujuk kepada nyanyian serta hiburan yang melalaikan.
Kesimpulan
Berdasarkan keseluruhan perbahasan, isu seperti ini lebih cenderung kepada pendapat ramai ulama yang tidak membenarkan bahkan mengharamkannya. Hal ini kerana, hujah mereka berasaskan nas hadith dan zahirnya menunjukkan ke arah itu.
Walaupun begitu, nyanyian yang berdasarkan kepada kelebihan suara atau secara acapella dan hanya menggunakan gendang serta bahasa dan melodinya yang bersifat baik, maka, hukumnya adalah halal dan dibolehkan.
Kami bercadang untuk memperincikan semua alat-alat muzik dari segi hukumnya satu persatu di samping mencari ‘illah kenapa ulama pada zaman dahulu begitu tegas mengharamkan kebanyakannya. Boleh jadi terdapatnya isu lagha, melalaikan, bercampur-baur dengan minuman keras, hilang maruah serta hilangnya perasaan malu.
Akhir kalam, umat Islam diseru memilih bentuk hiburan yang halal dan menjauhi perkara syubhah, sambil menutup perbahasan dengan doa:
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Sumber: Portal Zulkiflialbakri
FT Image: freepik / rawpixel.com

