Euforia Bola 2026
Nur

‘Coach Cerai’ Dibimbangi Kelirukan Masyarakat, Mufti Wilayah & Menteri Agama Bersuara Redakan Kegusaran!

coach cerai

Isu ‘coach cerai’ semakin kerap disebut sejak kebelakangan ini di media sosial berhubung isu rumah tangga individu terkenal. Perkara ini telah menyentuh urusan dan pentadbiran hal ehwal Islam iaitu perkahwinan orang Islam yang mana ia perlu dirujuk dan ditangani oleh pihak autoriti yang sah.

Penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti ‘coach cerai’ perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar sehingga membawa kepada kegusaran awam, sejajar dengan penegasan yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam kenyataannya.

Baca juga: Tular Isu ‘Gender Reveal’ Di Depan Kaabah, JAKIM Ulas Tentang Adab Di Rumah Allah Untuk Manfaat Semua

HUKUM COACH CERAI

coach cerai

Gambar hisasan: Pinterest

Menyedari risiko salah faham dalam masyarakat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan penjelasan khusus mengenai hukum dan batas nasihat dalam isu perkahwinan dan perceraian.

Dalam Islam, memberi nasihat atau kaunseling merupakan satu amalan yang mulia namun kelayakan dalam memberi khidmat tersebut juga merupakan perkara yang perlu dititikberatkan.

Lebih-lebih lagi apabila nasihat atau kaunseling tersebut menyentuh isu kritikal seperti perkahwinan dan perceraian yang melibatkan hukum syarak, hak serta tanggungjawab suami dan isteri.

Islam menegaskan bahawa urusan yang berkait dengan agama hendaklah dirujuk kepada mereka yang berilmu dan memahami hukum syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl (43).

Nasihat dalam urusan agama yang tidak berpaksikan al-Quran, hadis dan pandangan ulama berisiko membawa kepada kekeliruan walaupun disampaikan dengan niat yang baik.

Oleh itu, kelayakan seseorang untuk memberi nasihat dalam hukum perkahwinan dan perceraian orang Islam bukan hanya diukur melalui pengalaman hidup atau kebolehan bercakap tetapi melalui kefahaman yang sahih terhadap syariat Islam.

PEMBERI NASIHAT TIDAK BERSANDARKAN AGAMA

Nasihat yang lahir daripada niat baik tidak menjadi masalah, tetapi ia tidak boleh bergantung kepada pandangan peribadi semata-mata. Dalam isu perkahwinan dan perceraian, keputusan melibatkan emosi, tanggungjawab, hak suami isteri dan hukum syarak.

Jika nasihat hanya mengikut emosi tanpa merujuk agama, ia mungkin melegakan hati seketika tetapi boleh menyalahi syariat.

Secara ringkas, hukumnya terbahagi kepada dua:

1. Harus untuk perkara umum

Sesiapa sahaja boleh memberi nasihat dalam hal teknikal seperti cara berkomunikasi, kawal emosi, berbincang secara matang, atau berkongsi pengalaman hidup. Ini dibenarkan selagi tidak menyentuh hukum agama dan tidak bercanggah dengan syariat.

2. Tidak harus jika melanggar syarak

Nasihat menjadi tidak dibenarkan apabila:

  • menghalalkan perkara yang haram
  • mengajak bercerai tanpa alasan syarie
  • mengetepikan peranan sabar dan usaha perdamaian
  • menyebarkan kebencian terhadap institusi perkahwinan, lelaki atau wanita
  • mengajak melawan wali atau suami tanpa asas sah
  • mengingkari keputusan Mahkamah Syariah

Nasihat seperti ini dianggap berbahaya kerana boleh menyebabkan kekeliruan hukum, kerosakan rumah tangga dan tindakan emosi yang akhirnya disesali.

Baca juga: Haid Datang Tiba-Tiba Semasa Umrah, Wanita Ini Kongsi Ikhtiar Guna Kayu Sugi & Air Zamzam Yang 99% Menjadi!

6 pihak yang diiktiraf dalam isu keluarga Islam

mahkamah syariah

Gambar hiasan: Berita Harian

Islam tidak menafikan perceraian, namun ia diletakkan sebagai jalan terakhir setelah usaha perdamaian dilakukan dengan hikmah dan keadilan.

Dalam isu perceraian, al-Quran menekankan keperluan islah (perdamaian) apabila berlaku perselisihan antara suami dan isteri sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nisa’ (128).

Pendekatan islah menggalakkan pasangan mendapatkan runding cara dan kaunseling daripada pihak yang berkelayakan, bukan daripada individu yang hanya memberi pandangan peribadi tanpa disiplin ilmu agama.

Antara pihak yang diiktiraf dalam isu keluarga Islam termasuk:

  1. Kaunselor bertauliah
  2. Pegawai kaunseling keluarga Islam
  3. Pegawai hal ehwal agama
  4. Mahkamah Syariah
  5. JAKIM
  6. Jabatan Agama Islam Negeri

Golongan ini dilatih dalam aspek psikologi, emosi dan faham hukum syarak, jadi mereka membantu pasangan mencari penyelesaian secara adil, menyeluruh dan patuh agama.

Sebaliknya, mendapatkan nasihat daripada pihak yang tidak mempunyai asas agama atau latihan profesional boleh berisiko.

Nasihat yang bersifat emosi, berat sebelah atau bertentangan dengan syariat boleh mendorong keputusan tergesa-gesa, menambah konflik dan merosakkan rumah tangga.

Ia lebih membimbangkan jika individu yang sedang tertekan disokong menurut marah dan kecewa semata-mata sehingga membawa kepada tindakan yang akhirnya disesali.

Penutup

Isu ‘coach cerai’ yang tular mengingatkan kita bahawa memberi nasihat tentang perkahwinan dan perceraian perlu ilmu dan kefahaman yang betul. Nasihat daripada pihak tidak berkelayakan boleh mengelirukan dan menjejaskan rumah tangga serta emosi pasangan.

Islam menekankan penyelesaian berhemah melalui islah dan rundingan sebelum mengambil sebarang tindakan drastik. Mendapatkan nasihat daripada kaunselor bertauliah, jabatan agama atau mahkamah syariah memastikan keputusan dibuat dengan hikmah dan berpandukan syariat.

Kesedaran ini penting untuk memelihara institusi keluarga, membina masyarakat yang bijak menilai nasihat dan mengelak kerosakan yang boleh dielakkan.

Kenyataan Media oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

coach cerai

Baca juga: Ramai Orang Anggap Meninggal Hari Jumaat Bawa Kebaikan, Tapi Betul Ke? Ini Hukum Sebenar Menurut Mufti

Baca juga: Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / Facebook YB Senator Dr Zulkifli Hasan

FT Image: Pinterest

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×