Isu berniaga dalam masjid sering menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat, terutamanya apabila terdapat aktiviti jual beli kecil-kecilan seperti gerai, jualan buku atau sumbangan yang dilakukan di kawasan rumah Allah SWT. Persoalannya, sejauh manakah had sempadan yang dibenarkan menurut syariat Islam?
BERNIAGA DALAM MASJID ADA JUAL BELI, DILARANG ATAU BOLEH?

Freepik
Secara asasnya, masjid merupakan rumah Allah SWT yang didirikan untuk tujuan ibadah, zikir dan mengingati-Nya. Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 36–37 yang menggambarkan masjid sebagai tempat yang dimuliakan serta menjadi ruang ibadah bagi orang beriman.
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa perniagaan disebut secara khusus kerana ia merupakan antara perkara terbesar yang boleh melalaikan manusia daripada beribadah kepada Allah SWT. Justeru, penegasan ini memberi isyarat bahawa suasana masjid perlu dipelihara daripada unsur yang boleh mengalih fokus daripada tujuan asalnya.
Larangan ini turut disokong melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, di mana Baginda bersabda bahawa apabila melihat seseorang berjual beli di dalam masjid, maka hendaklah ditegur dengan doa agar perniagaannya tidak diberkati.
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu” Riwayat al-Tirmizi (1321)
Para ulama seperti Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hukum asal jual beli di dalam masjid adalah makruh, bahkan tidak digalakkan, meskipun dilakukan oleh individu yang beriktikaf kecuali dalam keadaan yang sangat mendesak.
Walau bagaimanapun, perbincangan isu ini perlu dilihat dengan lebih teliti, khususnya dalam konteks semasa kerana reka bentuk masjid pada hari ini tidak lagi terhad kepada ruang solat semata-mata. Banyak masjid mempunyai bangunan tambahan, ruang pejabat, bilik kelas, kawasan parkir serta ruang serbaguna yang dibina secara berasingan daripada dewan solat utama.

Menurut pandangan sebahagian ulama kontemporari, termasuk yang membahaskan isu ruangan bersambung dengan masjid tetapi tidak dijadikan tempat solat, hukum ruang tersebut bergantung kepada niat asal pewakaf dan fungsi pembinaannya. Jika sesuatu ruangan dibina dan diniatkan untuk tujuan selain solat, seperti stor atau kedai, maka ia tidak termasuk dalam hukum masjid yang mengharamkan jual beli.
Pendapat ini turut disokong oleh institusi fatwa yang membenarkan penggunaan ruang bersambung untuk aktiviti tertentu selagi ia tidak menyalahi adab dan fungsi utama masjid.
Kesimpulannya, jual beli di dalam ruang solat masjid adalah tidak digalakkan menurut majoriti ulama dan perlu dielakkan kecuali dalam keadaan darurat.
Namun, penggunaan ruang tambahan yang tidak termasuk dalam kawasan masjid secara hukum boleh dipertimbangkan dengan syarat ia tidak menyalahi tujuan asal pembinaan dan tidak mengganggu ibadah.
Baca juga: Bila Lalat Jatuh Dalam Air Minuman, Tak Perlu Buang! Tenggelamkan Dulu Macam Cara Nabi Ajar Ini…
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
