Seorang lelaki berusia 29 tahun mendedahkan dia hidup berjimat cermat di mana hanya membelanjakan kira-kira RM4.70 untuk setiap hidangan sehingga membolehkannya menyimpan sebanyak RM845,000 dalam tempoh enam tahun.
Baru-baru ini, dia menjelaskan bahawa perbelanjaan makan bulanannya tidak melebihi 500 yuan (RM325 ), yang telah menyumbang kepada jumlah simpanannya sejak tamat pengajian universiti enam tahun lalu.
Baca juga: Kera Liar Ceroboh Rumah & Cuba ‘Culik’ Baby Depan TV, Nasib Nenek Sempat Sergah!
HIDUP BERJIMAT CERMAT, HANYA MAKAN KURANG RM5 SEHARI

Gaya hidup berjimat cermat secara ekstrem ini berpunca daripada pengalaman traumatik semasa kecil. Ketika dia di Tahun Lima, ibunya jatuh sakit teruk dan mereka sekeluarga terpaksa meminjam lebih 100,000 yuan (≈ RM65,000) untuk rawatan.
“Kami tak mampu tanggung kos rawatan. Sejak dari itu, saya bertekad untuk berjimat sebanyak mungkin. Supaya bila terjadi apa-apa, saya tak perlu bergantung kepada orang lain, saya ada duit sendiri dan rasa lebih selamat.
“Orang mungkin susah nak percaya, tapi saya memang tak minat bersantai. Bukan sebab kedekut, saya pernah ke Universal Studios dan melancong ke Sanya, tapi semua itu atas urusan kerja. Selepas lalui semua itu, saya dapati tiada apa yang benar-benar menyeronokkan bagi saya,” katanya.
Namun, dia mengakui gaya hidup yang terlalu berjimat cermat ini boleh menjejaskan kesihatannya. Selepas bertahun-tahun bekerja dalam tekanan tinggi, dia mula mengalami gejala seperti kolesterol tinggi dan masalah peredaran darah.
“Saya mahu simpan 2 juta yuan (≈ RM1.3 juta) untuk beli rumah dan kereta dengan duit sendiri. Saya mahu ibu bapa tinggal di rumah yang saya beli dan bila ada masa, saya mahu bawa mereka melancong. Akhirnya, saya harap dapat berkahwin dan bina keluarga sendiri.”
“Saya percaya hidup ini tak boleh manis sepanjang masa, sama ada nikmati sekarang dan derita kemudian atau bertahan sekarang dan nikmati kemudian. Saya pilih yang kedua. Bila ada simpanan dan perancangan kukuh, saya lebih yakin hadapi masa depan. Itulah yang buatkan saya rasa selamat,” jelasnya.
Baca juga: Malaysia Kedudukan Kedua Di ASEAN Negara Paling Aman, Pencapaian Luar Biasa!
Sumber: South Morning China Post
