Harga yuran tadika dan taska dijangka naik sebanyak 20 hingga 25 peratus pada tahun hadapan susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Menurut Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaungi pengusaha tadika, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha taska mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan ditawarkan kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi.
Baca juga: Belanjawan 2025: Kebajikan & Pendidikan Anak Autistik Akan Pada Tahap Lebih Baik
HARGA YURAN TADIKA & TASKA DIJANGKA NAIK PADA TAHUN 2025

Sekadar gambar hiasan
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang menjelaskan bahawa kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi yang membabitkan gaji pekerja terutama guru.
Walau bagaimanapun, kenaikan tersebut perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlebih dahulu.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika,” ujarnya.
Difahamkan lebih kurang 1,000 ahli pengusaha tadika di seluruh negara tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran namun tindakan ini terpaksa dilakukan demi kelangsungan operasi.
Dijangkakan kenaikan yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berkemungkinan akan menutup operasi mereka kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
Selain itu, kenaikan kos bahan mentah untuk makanan murid jagaan naik lebih 60% sejak tahun lalu sehingga menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Dia juga menjelaskan bahawa kenaikan harga yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
Baca juga: KPM Umum Cuti Sekolah Tambahan Sempena Deepavali 2024, Ini Maklumat Penuh
Sumber: BH Online
